NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tak Pernah Berhutang Dengan Along, Lelaki Terkejut Kereta Dan Pagar Rumah Disimbah Cat Merah

Tak Pernah Berhutang Dengan Along, Lelaki Terkejut Kereta Dan Pagar Rumah Disimbah Cat Merah

KULIM: Seorang lelaki berusia 41 tahun berdepan kejadian mengejutkan apabila mendapati kereta serta pintu pagar rumahnya disimbah cat merah, selain menemui nota ugutan yang mengancam untuk membakar kediamannya.

Kejadian dipercayai berlaku di Taman Sepilai, Kulim, dalam tempoh antara jam 7 malam semalam hingga 7.30 pagi hari ini ketika mangsa tiada di rumah.

Lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu hanya menyedari perbuatan berkenaan sebaik pulang ke kediamannya kira-kira jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan simbahan cat merah pada pintu pagar dan kereta milik pengadu.

Selain itu, mangsa turut menemukan sekeping nota yang mengandungi ugutan untuk membakar rumah sekiranya individu yang dinamakan dalam nota berkenaan gagal menghubungi seorang lelaki bagi menyelesaikan urusan tertentu.

Bagaimanapun, pengadu menafikan mempunyai sebarang hutang dengan pemberi pinjaman wang atau along.

Malah, dia mengesyaki dirinya mungkin menjadi mangsa kesilapan sasaran kerana individu yang disebut dalam nota ugutan itu dipercayai merupakan jirannya.

Menurut Syamsul, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kerosakan lain berlaku pada kediaman berkenaan selain kesan simbahan cat merah.

Beliau berkata, pengadu turut memaklumkan bahawa dia dan ahli keluarganya tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan along, menerima ugutan atau mempunyai perselisihan faham dengan mana-mana pihak sebelum ini.

Setakat ini, polis juga belum memperoleh keterangan saksi bebas atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu mengenal pasti individu terbabit.

Syamsul berkata, motif kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan ugutan berkaitan hutang along, namun kemungkinan berlaku kesilapan sasaran turut tidak ditolak dan perkara itu masih dalam siasatan.

Maklumat berhubung kejadian sudah disalurkan kepada anggota detektif serta Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Sungai Kob bagi mengesan dan menahan suspek.

Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti individu yang disebut dalam nota ugutan serta menentukan kaitannya dengan kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy