Nazz Abdullah pernah mengulas pada 2019 bahawa jualan Proton Exora semakin merosot kerana model itu terlalu lama tidak menerima pembaharuan besar. Dalam tempoh yang sama, pesaing seperti Perodua Alza dan Mitsubishi Xpander semakin mendapat perhatian, menyebabkan Exora semakin tenggelam sebelum akhirnya dihentikan pengeluarannya pada 2023.
Jika Proton mahu kembali ke segmen ini, enjin perlu cukup bertenaga, harga mesti kompetitif, reka bentuk perlu mengikut citarasa semasa dan paling penting, MPV itu perlu menjimatkan untuk kegunaan harian.
Sama ada Proton Exora akan kembali menerusi AMA05 masih belum pasti, tetapi Proton telah mengesahkan bahawa salah satu model dalam keluarga AMA akan hadir sebagai MPV. Bagi Nazz, Proton tidak perlu terlalu obses untuk menewaskan Mitsubishi Xpander, Hyundai Stargazer atau Perodua Alza. Fokus utama sepatutnya ialah menghasilkan sebuah MPV yang benar-benar diperlukan oleh keluarga Malaysia.
Dan kali ini, naratif “Proton asyik rebadge” juga tidak semudah dulu, kerana AMA ialah platform yang dibangunkan Proton sendiri dengan kerjasama teknikal Geely.

Dari segi harga, Proton Exora generasi baharu ini berkemungkinan ditawarkan pada harga permulaan bawah RM80,000. Jangkaan ini dibuat kerana PROTON sebelum ini pernah menyatakan bahawa platform AMA dibangunkan untuk menghasilkan model-model yang mampu milik dan lebih mudah dimiliki oleh pengguna Malaysia.
Menurut jangkaan Nazz, harga MPV ini mungkin berada dalam lingkungan yang hampir sama dengan Proton S70 MC1 ketika ini. Dalam usaha untuk menarik pembeli, PROTON dilihat perlu meletakkan harga yang cukup kompetitif, khususnya bagi mencabar Perodua Alza.
Berbanding cuba bersaing secara langsung dengan model seperti Mitsubishi Xpander, Hyundai Stargazer dan beberapa MPV lain yang menghampiri atau melepasi RM100,000, strategi harga di bawah RM80,000 dilihat lebih sesuai dengan kedudukan platform AMA sebagai sebuah model mampu milik.

Setakat ini, PROTON masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut. Namun begitu, berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh daripada pihak pembekal serta sumber dalaman, Nazz menjangkakan model ini berkemungkinan akan diperkenalkan pada tahun 2027, selepas pelancaran Proton Saga Cross.
Ini kerana ketika ini, perhatian ramai dilihat lebih tertumpu kepada Saga Cross yang masih dinantikan oleh pasaran. Jadi, tidak mustahil PROTON akan memberi fokus terlebih dahulu kepada pelancaran model tersebut sebelum memperkenalkan model baharu yang lain.

Dalam pengumuman sama, PROTON turut mendedahkan bahawa salah satu model yang sedang dirancang ialah sebuah MPV berteknologi hibrid. Kenderaan tersebut dikatakan bakal menggunakan transmisi DHT120, atau Dedicated Hybrid Transmission. Sistem ini menggunakan konsep yang sama seperti transmisi pada Proton e.MAS 7 PHEV. Nombor “120” pula dipercayai merujuk kepada output motor elektrik yang menghasilkan 120 kW, bersamaan kira-kira 163 PS.
Apa yang membezakan MPV ini dengan AMA02 adalah pilihan rangkaian kuasanya. Berdasarkan maklumat yang dipaparkan dalam carta PROTON, model MPV tersebut dijangka tidak ditawarkan dalam versi enjin petrol biasa dan akan bergantung sepenuhnya kepada teknologi hibrid.

Dari segi reka bentuk, Nazz menjangkakan Exora generasi baharu ini akan membawa identiti yang hampir sama dengan Saga Cross apabila model tersebut diperkenalkan nanti. Bagaimanapun, dimensinya dijangka sedikit berbeza, dengan badan yang lebih panjang dan ketinggian yang sedikit lebih daripada Saga Cross.
Untuk saiz keseluruhan pula, MPV baharu ini dijangka tidak lagi sebesar Exora generasi terdahulu. Sebaliknya, dimensinya mungkin lebih kompak dan berada dalam kelas yang hampir sama dengan Perodua Alza, menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan keluarga moden.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?