NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

MIAPEX 2026 Kembali Oktober Ini, Tawar Pengalaman Automotif Percuma Untuk Semua

MIAPEX 2026 Kembali Oktober Ini, Tawar Pengalaman Automotif Percuma Untuk Semua

KUALA LUMPUR: MIAPEX 2026 kembali untuk edisi keenam pada 23 hingga 25 Oktober ini dengan membawa konsep yang lebih luas, menggabungkan peluang perniagaan industri automotif dengan pengalaman untuk peminat serta orang awam di satu lokasi.

Berlangsung di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines, Seri Kembangan, pameran anjuran AsiaAuto Venture Sdn Bhd itu mengetengahkan pendekatan “B2B UNTUK INDUSTRI. B2C MELALUI PENGALAMAN.”, sekali gus menyasarkan pemain industri dan pengguna secara serentak.

Menurut Pengerusi MIAPEX 2026, Jet Ong, acara berkenaan kini berkembang daripada konsep pameran alat ganti automotif tradisional kepada sebuah platform yang menghubungkan industri dengan pengguna, selain menyediakan ruang untuk aktiviti keluarga dan komuniti automotif.

Menariknya, kemasukan ke MIAPEX 2026 adalah percuma, menjadikan acara ini bukan sahaja sebagai platform perdagangan, tetapi juga ruang untuk orang ramai melihat produk, teknologi serta budaya automotif dengan lebih dekat.

Bukan Sekadar Pameran Alat Ganti

Antara tarikan utama MIAPEX 2026 ialah Bumper2Bumper International Car Show, yang akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia, selain Asia International Automotive Salon Expo (AIAS 2026).

Pengunjung juga boleh melihat FoneRewards & JPM Museo Roadshow, menyertai pelbagai permainan dan cabaran di booth, serta berpeluang memenangi hadiah menerusi MIAPEX Lucky Draw dengan nilai keseluruhan sehingga RM20,000.

Bagi peminat kereta berskala kecil pula, Malaysia Toy Car Expo bakal menghimpunkan aktiviti berkaitan Tamiya Mini 4WD, kereta kawalan jauh, die-cast dan kart.

Turut diadakan ialah Raja & Ratu Tukar Tayar 2026, manakala pengunjung yang memang sedang mencari produk automotif boleh mendapatkan tawaran menerusi Mega Automotive Sales dengan diskaun sehingga 70%.

Malaysia Jadi Hub Untuk Industri Automotif ASEAN

Di sebalik tarikan kepada orang awam, MIAPEX 2026 turut memberi penekanan besar kepada sektor perniagaan dengan penyertaan antarabangsa dari negara seperti Jepun, China, Singapura, Thailand, Chinese Taipei, Jerman, Austria dan Indonesia.

Platform tersebut menyasarkan pengeluar, pembekal alat ganti, pengedar, bengkel, pembeli antarabangsa, syarikat logistik serta penyedia teknologi, dengan Malaysia dilihat sebagai lokasi strategik untuk menghubungkan pemain industri ke pasaran ASEAN.

Selain pameran, aktiviti business matching turut menjadi sebahagian daripada MIAPEX 2026 bagi membantu pemain industri mencari sumber baharu, meneroka teknologi serta mendapatkan produk dan penyelesaian yang boleh menyokong operasi mereka untuk tahun 2027 dan seterusnya.

Ini termasuk peluang untuk rundingan perdagangan, pembelian secara pukal serta peluang menjadi pengedar, menjadikan MIAPEX lebih daripada sekadar acara untuk melihat produk yang dipamerkan.

Turut Bawa Teknologi EV, Logistik & Pembaikan Automotif

MIAPEX 2026 turut memberi perhatian kepada perkembangan teknologi baharu dalam industri, termasuk teknologi EV dan inovasi berkaitan automotif.

Dalam masa sama, ASEAN Logistics & Transportation Conference 2026 akan dianjurkan sebagai platform percuma untuk pemain industri, dengan perbincangan merangkumi dasar kerajaan, teknologi, AI, pendigitalan, logistik rentas sempadan ASEAN serta peluang masa depan sektor berkenaan.

Bagi sektor selepas jualan pula, Asia Automotive Repair Expert (AARE) Convention 2026 akan memberi tumpuan kepada bengkel dan juruteknik, termasuk aspek pembaikan kenderaan EV dan hibrid, teknologi baharu, transformasi bengkel serta pengetahuan teknikal dan peluang perniagaan.

Tiga Hari Untuk Industri Dan Peminat Kereta

Dengan gabungan pameran antarabangsa, peluang perniagaan, teknologi, aktiviti automotif, pertandingan, jualan serta hiburan, MIAPEX 2026 menyasarkan kumpulan yang lebih luas termasuk pengeluar, pembekal, pengedar, bengkel, syarikat fleet dan logistik, selain kelab kereta, peminat automotif, pemilik kenderaan dan keluarga.

MIAPEX 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di MIECC, The Mines, Seri Kembangan, dengan kemasukan percuma kepada pengunjung.

Bagi edisi keenam ini, MIAPEX bukan sekadar mahu menjadi tempat untuk melihat apa yang baharu dalam dunia automotif, tetapi turut menyediakan ruang untuk industri membina hubungan, mencari peluang perniagaan dan memperkenalkan perkembangan teknologi kepada pengguna.

Dengan pendekatan tersebut, MIAPEX meneruskan usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab perniagaan automotif dan aftermarket di rantau ASEAN.

Aisyah Rafiza

Aisyah Rafiza adalah jambatan korporat utama NAZZ&CO™ Media. Sebagai Eksekutif Perhubungan Awam (PR) & Penganalisis Strategik, beliau menguruskan hubungan klien berprofil tinggi serta unjuran strategik bagi memastikan setiap visi syarikat disampaikan dengan integriti dan kejelasan mutlak kepada pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy