“Kereta lama lagi?”
Ayat macam ini mungkin nampak biasa, tapi sebenarnya mencerminkan satu perkara yang semakin kuat dalam masyarakat kita — kecenderungan menilai seseorang berdasarkan kereta yang dipandunya.
Kalau kereta baru, orang anggap hidup stabil. Kalau kereta mahal, terus nampak berjaya. Tapi kalau masih menggunakan kereta yang sudah berusia 10 atau 15 tahun, mula ada yang bertanya, “Tak nak upgrade ke?”
Persoalannya, kenapa kita terlalu kisah dengan umur kereta orang lain?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Antara perkara yang ramai orang terlupa, tidak semua orang yang memandu kereta lama sebenarnya tidak mampu membeli kereta baharu. Ada yang memang mampu, tetapi memilih untuk tidak berhutang semata-mata untuk mendapatkan kereta baharu. Kalau kereta masih elok, enjin masih sihat, penyelenggaraan dijaga dan keperluan harian masih boleh dipenuhi, apa masalahnya?
Kereta pada asasnya ialah alat untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Ia bukan ukuran nilai seseorang. Malah, seseorang yang masih menggunakan kereta lama walaupun mampu membeli kereta baharu mungkin sebenarnya mempunyai keutamaan kewangan yang berbeza.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Ini antara perkara paling penting yang pembeli perlu faham. Bila membeli kereta baharu, ramai hanya melihat satu angka — berapa ansuran sebulan? Contohnya, kereta RM80,000 mungkin nampak “mampu” apabila ansurannya sekitar RM800 hingga RM900 sebulan. Tetapi kos sebenar memiliki kereta bukan berhenti di situ.
Ada insurans, cukai jalan, servis berkala, tayar, petrol atau elektrik, tol, parking dan kos lain yang datang bersama pemilikan. Sebab itu, jangan ukur kemampuan membeli kereta hanya berdasarkan sama ada bank lulus pinjaman atau tidak.
Bank mungkin boleh luluskan pinjaman, tetapi itu tidak semestinya bermaksud kita selesa membayar komitmen tersebut setiap bulan.

Kalau seseorang sudah memiliki kereta yang habis bayar, keadaannya sebenarnya agak berbeza. Tiada lagi bayaran pinjaman bulanan. Wang yang biasanya digunakan untuk ansuran boleh disimpan, dilaburkan, digunakan untuk keluarga atau membayar komitmen lain. Memang kereta lama mungkin memerlukan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi apabila usia meningkat.
Tetapi ada perbezaan antara membayar beberapa ribu ringgit untuk membaiki kereta yang kita sudah miliki dengan mengambil pinjaman puluhan ribu ringgit untuk kereta baharu. Sudah tentu, semuanya bergantung kepada keadaan kereta.
Kalau kos membaiki sudah terlalu tinggi, kerap rosak atau tidak lagi selamat digunakan, membeli kereta lain mungkin menjadi keputusan yang lebih masuk akal. Tetapi kalau kereta masih boleh digunakan dengan baik, kenapa perlu rasa malu?

Ini mungkin bahagian yang paling susah untuk diterima. Ada orang membeli kereta bukan kerana benar-benar memerlukannya, tetapi kerana mahu menunjukkan sesuatu kepada orang lain. Takut nampak susah. Takut orang kata tak berjaya. Takut kawan-kawan sudah pakai kereta baharu, tetapi kita masih menggunakan kereta lama.
Akhirnya, kita mengambil komitmen bertahun-tahun hanya untuk memenuhi persepsi orang yang sebenarnya tidak membayar satu sen pun ansuran kita. Yang bayar minyak kita, kita. Yang bayar servis kita, kita. Yang bayar ansuran setiap bulan pun kita.
Jadi kenapa keputusan membeli kereta perlu dibuat berdasarkan pandangan orang lain?

Kereta memang boleh menjadi simbol pencapaian. Tidak salah pun kalau seseorang suka kereta baharu, mahu kereta lebih selesa atau mahu menikmati teknologi terkini. Tetapi jangan sampai kereta menjadi punca kewangan kita tertekan. Sebab itu, sebelum membeli kereta, soalan yang lebih penting bukanlah:
“Kereta ni nampak mahal tak?”
Tetapi:
“Aku mampu tak tanggung kereta ni untuk lima, tujuh atau sembilan tahun akan datang?” Kalau jawapannya ya dan pembelian itu tidak menjejaskan kewangan, teruskan. Kalau belum mampu, tidak salah untuk terus menggunakan kereta lama.

Sebenarnya, handsome atau tidak bukan ditentukan oleh umur kereta.
Kereta lama yang dijaga bersih, diselenggara dengan baik dan digunakan dengan penuh tanggungjawab tetap lebih baik daripada kereta baharu yang dibeli hanya untuk menunjuk tetapi setiap bulan pemiliknya pening memikirkan ansuran. Kereta adalah sebahagian daripada kehidupan kita.
Tetapi ia tidak sepatutnya menentukan nilai diri kita. Jadi kalau hari ini masih pakai kereta lama, jangan terlalu cepat rasa rendah diri. Selagi kereta itu selamat, masih boleh digunakan dan memenuhi keperluan, pakailah.
Sebab pada akhirnya, lebih baik nampak “biasa” di mata orang lain tetapi kewangan kita tenang, daripada nampak bergaya di jalan raya tetapi setiap hujung bulan terpaksa mengira duit untuk bertahan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?