NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

NAZZ&CO Media Kini Sah Berdaftar Dengan Jabatan Penerangan Malaysia

NAZZ&CO Media Kini Sah Berdaftar Dengan Jabatan Penerangan Malaysia

Daripada seorang pencipta kandungan automotif kepada pengasas organisasi media digital, Nazz Abdullah meraikan satu lagi perkembangan penting selepas lebih tujuh tahun membina NAZZ&CO Media.

KUALA LUMPUR, 16 November 2026: NAZZ&CO™ Media, sebuah organisasi media digital Malaysia yang diasaskan oleh penganalisis automotif dan usahawan media, Nazz Abdullah, kini telah menerima kelulusan pendaftaran sebagai agensi media melalui sistem eMedia Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Perkembangan ini menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan NAZZ&CO Media memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah organisasi media yang beroperasi merentasi platform digital, penerbitan editorial dan produksi kandungan.

Pendaftaran tersebut turut mencerminkan evolusi jenama yang bermula sebagai saluran YouTube automotif sebelum berkembang menjadi sebuah ekosistem media dengan pelbagai program, personaliti dan pasukan produksi tersendiri.

Bermula Dengan Sebuah Video YouTube Pada 2019

NAZZ&CO Media Team 2026 NAZZ&CO Media Team 2026

Perjalanan Nazz Abdullah dalam bidang penerbitan kandungan automotif bermula pada 1 Julai 2019, menerusi video ulasan kereta pertamanya yang menampilkan Honda Civic FC miliknya sendiri.

Pendekatan penyampaian yang menggabungkan informasi automotif, ulasan berterus terang dan unsur hiburan berjaya menarik perhatian penonton, sehingga saluran YouTube Nazz Abdullah mencapai 100,000 subscribers pada Januari 2020.

Namun, perkembangan platform media sosial dan pertumbuhan jumlah pengikut turut membawa perubahan kepada hala tuju perniagaannya.

Menurut Nazz Abdullah, beliau mula menyedari bahawa pengaruh seorang pencipta kandungan sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penonton yang semakin mahukan maklumat automotif lebih komprehensif.

“Apabila jumlah penonton semakin berkembang, tanggungjawab kami juga semakin besar. Untuk menghasilkan kandungan yang lebih berkredibiliti, kami perlu memperkukuh hubungan dengan pemain industri, mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh dan membina sebuah organisasi yang mampu berkembang melangkaui seorang personaliti.”

Daripada Personal Brand Kepada Organisasi Media

NAZZ&CO Media Team 2026

Usaha tersebut berkembang melalui penubuhan NAZZNCO (M) SDN. BHD. pada tahun 2023, yang kini mengendalikan operasi NAZZ&CO™ Media.

Selain penerbitan berita dan analisis automotif melalui portal nazznco.my, organisasi ini turut menghasilkan pelbagai program original termasuk DRAMA KERETA, JANGAN KECAM™, SERANG HENDAP, TECH&GO Media dan TERPALING TRAVEL.

Ekosistem digital NAZZ&CO kini merangkumi tujuh platform utama iaitu portal web, YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads dan Spotify, termasuk tiga akaun TikTok yang membawa identiti kandungan berbeza.

Perkembangan tersebut membolehkan NAZZ&CO memperluaskan skop penerbitan daripada ulasan kenderaan kepada kewartawanan digital, isu kepenggunaan, keselamatan jalan raya, teknologi, pengembaraan dan gaya hidup.

Cabaran Membina Jenama Media Yang Dipercayai

Nazz Abdullah with Tun Mahathir

Menurut Nazz Abdullah, antara cabaran terbesar sepanjang perjalanan ini ialah menghasilkan kandungan berbentuk pendidikan yang pada masa sama mampu menarik perhatian dan menghiburkan penonton.

Dalam landskap digital yang sentiasa berubah, persaingan untuk mendapatkan perhatian semakin meningkat, sementara tuntutan terhadap ketepatan informasi terus menjadi keutamaan.

Pembinaan organisasi tersebut juga menuntut komitmen masa yang besar.

Selepas bertahun-tahun memberikan tumpuan kepada perkembangan jenama, Nazz Abdullah turut berdepan cabaran kesihatan pada tahun 2026 yang menyebabkannya menerima rawatan di hospital dan menjalani tempoh pemulihan.

Bagaimanapun, operasi NAZZ&CO Media diteruskan oleh pasukannya sepanjang tempoh tersebut.

“Saya yang memulakan perjalanan ini, tetapi NAZZ&CO hari ini bukan lagi tentang Nazz Abdullah seorang. Di belakang setiap penerbitan ada pasukan yang bekerja setiap hari. Tanpa mereka, NAZZ&CO tidak akan menjadi seperti hari ini.”

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, rakan industri, pelanggan dan penonton yang memberikan sokongan sejak awal penubuhan.

Pendaftaran JaPen Menjadi Langkah Penting Seterusnya

Kelulusan pendaftaran agensi media melalui sistem eMedia Jabatan Penerangan Malaysia merupakan perkembangan terkini dalam usaha NAZZ&CO Media memperkukuh identiti serta kedudukannya dalam landskap media digital negara.

Bagi Nazz Abdullah, perkembangan ini memberikan kepuasan tersendiri selepas perjalanan panjang membina sebuah jenama daripada peringkat individu kepada organisasi media.

Pendaftaran agensi tersebut adalah berasingan daripada permohonan Kad Perakuan Media bagi petugas media individu.

Menuju 1 Juta Subscribers YouTube

Dalam perkembangan berkaitan, saluran YouTube Nazz Abdullah yang menjadi platform utama NAZZ&CO Media kini semakin hampir mencapai satu juta subscribers.

Organisasi tersebut sedang membawa misi untuk menjadi media automotif Malaysia pertama mencapai angka berkenaan di YouTube, sekali gus mencipta satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan syarikat.

NAZZ&CO Media turut menegaskan komitmennya untuk terus memperluaskan penerbitan kandungan yang menekankan informasi automotif, analisis industri, pendidikan pengguna dan keselamatan jalan raya.

Daripada sebuah saluran YouTube pada 2019 kepada organisasi media berdaftar pada 2026, NAZZ&CO Media kini bersedia memasuki fasa perkembangan seterusnya.


Mengenai NAZZ&CO™ Media

NAZZ&CO™ Media ialah rangkaian media digital Malaysia yang diasaskan oleh Nazz Abdullah dan dikendalikan oleh NAZZNCO (M) SDN. BHD. (202301032898 / 1526821-H).

Organisasi ini menghasilkan kandungan berita, analisis automotif, video, podcast, pengembaraan, teknologi serta gaya hidup merentasi pelbagai platform digital.

Laman rasmi: https://nazznco.my

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy