PENDANG: Tindakan empat lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar di Jalan Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kereta jenis Proton Persona yang dinaiki kesemua suspek berusia antara 33 hingga 51 tahun dipercayai gagal mematuhi arahan polis supaya memberhentikan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut bagi mengelakkan pemeriksaan sebelum dipercayai menghimpit kenderaan peronda polis yang mengejar mereka.
Bagaimanapun, tindakan tersebut berakhir apabila Proton Persona berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dan kesemua individu terbabit menemukan enam paket plastik lutsinar berlainan saiz yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu serta satu lagi paket disyaki heroin.
Kesemua suspek yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu kemudiannya dibawa ke Hospital Pendang untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Rodzi, hasil semakan mendapati dua daripada lelaki berkenaan masing-masing mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala dua lagi mempunyai lima dan 15 rekod terdahulu.
Ujian saringan awal air kencing turut mendapati keempat-empat suspek positif dadah yang melibatkan bahan jenis Amphetamine, Methamphetamine dan Morphine.
Susulan kejadian itu, tiga daripada suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 15 November bagi membantu siasatan. Seorang lagi suspek bagaimanapun diberikan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?