BYD Malaysia bersama Sime Motors secara rasmi menandakan permulaan pemasangan tempatan kenderaan BYD di Malaysia, dengan BYD SHARK 6 dipilih sebagai model pertama yang akan dipasang di fasiliti Inokom Corporation (Inokom), Kulim, Kedah.

Langkah ini merupakan perkembangan penting bagi BYD dalam mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan, selain membuka peluang kepada pengembangan portfolio model jenama tersebut di Malaysia.
Kerjasama ini turut menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), khususnya dalam membangunkan ekosistem Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan serta menggalakkan penglibatan syarikat Malaysia dalam rantaian nilai automotif.

Pemilihan BYD SHARK 6 sebagai model pertama untuk pemasangan tempatan menandakan langkah BYD memasuki segmen pikap 4×4 menerusi teknologi kenderaan tenaga baharu (NEV).
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2025, model ini menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pelanggan tempatan. Kehadirannya juga membuka peluang kepada BYD untuk mendekati kumpulan pembeli yang lebih luas, khususnya mereka yang mencari kenderaan dalam segmen pikap.
Menurut BYD, pemilihan SHARK 6 turut mencerminkan keyakinan jenama itu terhadap potensi pertumbuhan pasaran Malaysia.
Operasi pemasangan tempatan ini akan dijalankan di Inokom Corporation, iaitu fasiliti pemasangan milik Sime Motors yang terletak di Kulim, Kedah.
Kemudahan tersebut mempunyai infrastruktur pemasangan kenderaan sedia ada, tenaga kerja berpengalaman serta rangkaian pembekal tempatan yang boleh menyokong operasi BYD.
Kerjasama ini juga berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam industri automotif, selain meningkatkan penglibatan industri Malaysia dalam rantaian bekalan global.
Menurut BYD Malaysia, langkah pemasangan tempatan ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang syarikat untuk Malaysia.
Selain pemasangan kenderaan, kerjasama tersebut turut memberi tumpuan kepada perkongsian teknologi dan kepakaran, pemindahan ilmu serta pembangunan kemahiran bersama industri tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang hadir sebagai tetamu kehormat dalam majlis berkenaan turut menyambut baik pelaburan BYD dan kerjasama bersama Sime Motors.
Beliau menyatakan bahawa pelaburan seperti ini bukan sahaja membawa teknologi baharu ke Malaysia, malah berpotensi mewujudkan persaingan sihat, menggalakkan inovasi serta meningkatkan standard industri automotif negara.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan ekosistem yang lebih menyeluruh, termasuk pembuatan tempatan, pembangunan bakat dan infrastruktur seperti kemudahan pengecasan EV ultra-pantas bagi menyokong peralihan kepada penggunaan kenderaan elektrik.

Bagi BYD, Malaysia dilihat mempunyai potensi besar bukan sahaja sebagai pasaran kenderaan tenaga baharu yang semakin berkembang, tetapi juga sebagai hab pembuatan automotif.
Kerjasama dengan Sime Motors dijangka membantu BYD mengukuhkan operasi tempatan melalui gabungan teknologi dan pengalaman global BYD bersama keupayaan pembuatan serta rangkaian pembekal Sime Motors.
Buat masa ini, maklumat lanjut mengenai kemudahan pemasangan tempatan dan perkembangan operasinya akan diumumkan kemudian.
Dengan BYD SHARK 6 menjadi model pertama yang dipasang secara tempatan, langkah ini membuka satu lagi fasa perkembangan BYD di Malaysia, selain memberi peluang kepada industri automotif tempatan untuk terus berkembang dalam segmen kenderaan tenaga baharu.
BYD SHARK 6 yang dipasang secara tempatan dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan dan harga model dijangka dapat bersaing dalam segmen pikap 4×4, menurut Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia dan Jacob Ma Pengarah Urusan BYD Malaysia.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?