Proton telah mengumumkan bahawa mereka telah mencatat rekod lebih dari 5 juta unit pengeluaran sejak dari tahun 1983 iaitu selama 41 tahun jenama mereka ditubuhkan di Malaysia. Pencapaian yang membanggakan ini diraikan dengan unit yang ke 5 juta iaitu Proton X90 varian Flagship yang didedahkan semasa ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China.
Ia disertai dengan lawatan dari Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Industri dan Teknologi Informasi China, Jin Zhuanglong di ibu pejabat Proton pada 31 Mei yang lalu.
Sementara itu, menjadi model yang paling laris di Proton, Saga mengekalkan pencapaian yang cemerlang apabila 2 juta dari unit pengeluaran tersebut datang dari model itu sahaja. Selain itu, untuk SUV siri-X juga turut menunjukkan pencapaian yang positif dengan 217,000 unit berjaya dijual sejak X70 pertama kali dilancarkan pada tahun 2018.
“Unit kelima juta yang dihasilkan oleh Proton adalah Proton X90 Flagship, yang melambangkan sejauh mana syarikat telah berkembang sejak permulaan kerjasama dengan Geely. Hanya minggu lalu, kami telah mengesahkan eMas sebagai jenama untuk produk EV Proton pada masa depan dan hari ini apabila kami mencapai satu lagi pencapaian, masa depan penuh dengan peluang untuk Proton terus menyediakan mobiliti lestari untuk rakyat Malaysia dan pasaran eksport kami,” kata CEO Proton, Li Chun Rong.