Syarikat pembuat kereta nasional, Proton, telah mendedahkan logo dan nama bagi jenama kenderaan elektrik (EV) pertama mereka hari ini. Diberi nama sebagai Proton e.MAS, “e” bermaksud electrifying manakala “MAS” memberi maksud Malaysia.
Bagi logo pula, ia masih menggunakan figura kepala harimau seperti logo rasmi Proton cuma ia diubah sedikit menjadi tidak berkurung dalam bentuk 2D kerana EV cenderung kepada rekaan grafik yang lebih bersih dan kurang rumit.
“Pelancaran jenama dan logo e.MAS hari ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan PROTON ke arah melancarkan model EV kami sendiri. Sebagai sebuah syarikat yang terikat dengan perindustrian Malaysia, kami sedar bahawa kami bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia,” kata Dr LiChunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.
Berdasarkan poster bagi pertandingan Meneka Nama bagi jenama EV pertama dari Proton yang telah dianjurkan dari 20 Mei hingga 5 Jun yang lalu, kami dapat lihat sedikit sebanyak bayangan atau rekaan luaran model Proton e.MAS yang menunjukkan rel bumbung SUV dengan lampu LED hadapan. Tekaan kami adalah ia akan berdasarkan Geely Galaxy E5 dan akan dilancarkan tak lama lagi ke dalam pasaran Malaysia.
Selain itu, Proton turut mengumumkan 17 pengedar bagi Proton EV yang turut menandatangani perjanjian bersama hari ini. Permohonan kini dibuka untuk peniaga yang berminat menjadi pengedar dan sasaran awal adalah membuka 30 cawangan menjelang 2025 dengan rancangan mengembangkan rangkaian jualan mengikut keperluan pasaran. Berdasarkan pertandingan meneka nama tempoh hari, ada ke yang teka betul? Jika ada, tahniah diucapkan!