Seorang pengguna di Facebook yang dikenali sebagai Zhi Sheng telah memuat naik 2 keping gambar baru-baru ini yang menunjukkan penemuannya di Klang, Selangor bersama dengan sebuah kenderaan yang akan dilancarkan tak lama lagi di Malaysia iaitu Zeekr X.
Pada awal bulan Jun, Zeekr telah mengadakan pratonton eksklusif dan menandatangani perjanjian bersama dengan syarikat Sentinel Automotive untuk menjadi rakan niaganya di Malaysia. Menerusi gambar bocor yang telah dikongsikan ini, kami rasa memang sudah tidak lama lagi SUV EV dari Zeekr ini akan membuat kemunculan sulungnya.
Pada yang terlupa, Zeekr X adalah sebuah SUV lima tempat duduk yang telah dibangun menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely. Ia berukuran 4,450 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,572 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm.
Dua varian bakal ditawarkan iaitu motor tunggal RWD dan dua-motor AWD. Bagi varian motor tunggal, ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 272 Ps dan 343 Nm tork manakala dua motor mampu menghasilkan 428 Ps dan 543 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah 5.8 saat bagi RWD dan 3.8 saat bagi AWD.
Untuk jarak sejauh 560 km boleh dicapai dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 66 kW dengan sekali pengecasan bagi RWD manakala jarak sejauh 512 km bagi AWD.
Selain itu, antara ciri-ciri lain bagi Zeekr X adalah bukaan pintu berkuasa, sistem bunyi Yamaha dengan 13-pembesar suara serta paparan pada tiang B untuk menunjukkan status pengecasan, dan juga kamera yang menggunakan pengesahan wajah untuk membuka pintunya.
Kredit Imej : Zhi Sheng