Chery Malaysia telah merancang untuk menjadikan kilang baru mereka di Shah Alam sebagai hab pemanduan bagi kenderaan sebelah kanan serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Presiden Chery International, Zhang Guibing, semasa pelancaran kilang tersebut tempoh hari.
“Sementara China menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kiri, Malaysia menawarkan peluang unik untuk menyediakan keperluan pasaran pemanduan sebelah kanan.
“Kami sangat berminat untuk mengembangkan perniagaan di sini dan Malaysia boleh menjadi hab pemanduan sebelah kanan,” kata Zhang sambil menambah syarikat mempunyai perancangan untuk meneroka eksport ke negara RHD dan menggunakan kedudukan strategik Malaysia.
Selain itu, Chery juga merancang untuk mengeksport ke negara-negara jiran yang turut menggunakan kenderaan sebelah kanan seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan lain-lain lagi.
Menurut Zhang, kesemua usaha ini akan menguatkan lagi asas operasi Chery di Malaysia untuk memastikan kualiti serta kecekapan berstandard tinggi yang seterusnya dapat membina keyakinan pelanggan berpanjangan.
Pada November 2023 lalu, Chery menjanjikan pelaburan RM1 bilion untuk memberi sokongan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Syarikat itu menyatakan ia adalah sebagai satu komitmen jangka masa panjang yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia.
Chery turut berkolaborasi dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengiktiraf dan menghargai usaha para atlet negara yang akan bertanding di Sukan Olimpik 2024 dengan memberi hadiah kepada para atlet yang berjaya membawa pulang pingat.