Sime Darby Motors, pengedar rasmi jenama BYD di Malaysia, telah melancarkan varian baru ke dalam pasaran Malaysia iaitu BYD Seal Dynamic. Untuk makluman, BYD Seal telah dilancarkan ke dalam pasaran Malaysia pada Februari tahun ini dengan 2 varian ditawarkan untuk jualan iaitu varian Premium dan Performance.
Merupakan kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia, lebih 2,200 unit telah berjaya dijual setakat akhir Ogos yang lalu. Kini, BYD menawarkan varian Dynamic di mana pelanggan boleh meneroka lebih banyak pilihan EV dengan harga yang kompetitif berdasarkan rekaan dan teknologi yang ditawarkan.
Untuk varian Dynamic, ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 150 kW dan 310 Nm tork. Untuk jarak sejauh 510 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 61.4 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 7.5 saat.
Berbanding dengan varian lain, varian Premium mampu menghasilkan 230 kW dan 360 Nm tork. Untuk jarak sejauh 650 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 82.5 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 5.9 saat.
Bagi varian Performance pula, ia didatangkan dengan spesifikasi dual-motor powertrain yang mampu menghasilkan 390 kW dan 670 Nm tork. Untuk jarak sejauh 580 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 82.5 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 3.8 saat.
Selain dari output yang rendah dan bateri yang kecil, varian Dynamic juga akan menerima tayar bersaiz 18 inci. Varian Dynamic ini juga merupakan varian yang paling ringan dengan berat sebanyak 1,922 kg berbanding Premium dan Performance iaitu sebanyak 2,055 kg dan 2,185 kg.
Bagi spesifikasi lain, varian Dynamic masih kekal sama seperti varian Premium dan Performance. Hanya 2 warna ditawarkan untuk varian Dynamic ini iaitu Cosmos Black dan Aurora White dengan harga bermula dari RM163,800 (on-the-road tanpa insurans). 100 tempahan pertama bakal menerima pengecas Wallbox rumah percuma.
Di samping itu, BYD Seal turut menawarkan pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 6 tahun/150,000 km, waranti bateri hebat selama 8 tahun/160,000 km dan waranti unit pemacu yang setanding untuk tempoh 8 tahun/150,000 km.