Perincian Subsidi RON95 & Pengenalan Semula GST Dijangka Umum dalam Belanjawan 2025 – RHB IB

RHB Bank Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan perincian subsidi petrol bagi RON95 dan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan diumumkan dalam Belanjawan 2025, menurut laporan Bernama.

Menurut Penganalisis RHB IB, Alexander Chia, kestabilan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat teguh sejak pilihan raya umum ke-15 diadakan pada 2 tahun lepas.

“Kami yakin kerajaan akan melakar kemajuan yang lebih bermakna dalam subsidi dan inisiatif untuk meluaskan asas cukai bagi mengurangkan lagi defisit fiskal, mewujudkan ruang utama untuk pelaburan infrastruktur, dan menghasilkan peluang untuk mengawal hutang negara.

“Dalam aspek ini, dua inisiatif utama yang masih belum diputuskan adalah rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 dan pengenalan semula GST yang bersesuaian dengan pelaksanaan penuh e-invois,” katanya.

Menjelang akhir tahun 2024 ini, bank pelaburan itu menjangkakan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, RHB IB menjangkakan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini akan melibatkan beberapa perkara seperti fiskal berhemat, fokus kepada segmen berpendapatan rendah, komitmen terhadap pembaharuan dan inisiatif yang jelas untuk meluaskan asas cukai.

Sasaran defisit fiskal bagi tahun 2025 telah diunjurkan oleh RHB IB pada 3.5%, lebih rendah dari sasaran pada tahun 2024 iaitu pada 4.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan mengenai cukai barang bernilai tinggi (HVGT) akan dinyatakan dalam Belanjawan 2025. Walau bagaimanapun, kaedah cukai yang akan dilaksanakan masih belum dapat dilihat terutamanya kadar cukai, jenis barangan dan ambang nilai yang akan ditetapkan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD