Dua Beranak Ditemui Maut Dalam Proton Exora, Dipercayai Lemas Terhidu Gas Karbon Monoksida

Dua Beranak Ditemui Maut Dalam Proton Exora, Dipercayai Lemas Terhidu Gas Karbon Monoksida

Melaka digemparkan dengan penemuan tragis awal pagi semalam apabila dua beranak ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah Proton Exora yang diparkir di tepi Jalan Solok Hilir, Paya Rumput.

Mangsa dikenal pasti sebagai Zabanah Abu Hussin, 57, dan anak perempuannya Intan Nur Shafiqah Othman, 25, yang tinggal di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai berhenti untuk berehat di dalam kenderaan dengan enjin dan penghawa dingin masih terpasang. Ketika diperiksa, mereka ditemui dalam keadaan baring di tempat duduk hadapan.

Tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah dikesan. Polis percaya insiden ini berpunca daripada kebocoran gas dalam kenderaan yang menyebabkan kedua-duanya mati lemas.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk mengesahkan punca sebenar.

Difahamkan, polis menerima panggilan kecemasan jam 12.24 tengah malam daripada orang awam yang ternampak dua individu tidak sedarkan diri dalam kereta berkenaan. Pemeriksaan Unit Forensik IPK Melaka bersama pegawai perubatan Hospital Melaka kemudian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi.

Polis turut akan menemubual ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan siasatan, namun setakat ini menolak sebarang unsur jenayah mahupun cubaan bunuh diri. – Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD