Ops Khas JPJ: Lebih 1,600 Saman Dikeluarkan, Kenderaan Perdagangan Disita

Ops Khas JPJ: Lebih 1,600 Saman Dikeluarkan, Kenderaan Perdagangan Disita

JPJ Kuala Lumpur terus mengetatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan menerusi Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 hingga 17 September lalu.

Sepanjang tempoh itu, lebih 8,000 kenderaan perdagangan diperiksa yang membabitkan 3,389 kenderaan barangan dan 4,836 kenderaan perkhidmatan awam. Hasilnya, 1,672 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Lapan kenderaan turut disita, termasuk lori tipper, dua lori roro dan lima lori kecil, yang dikesan melanggar peraturan secara serius dan berulang,” kata Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, dalam sidang media di lokasi operasi berhampiran Tol Sungai Besi, hari ini.

Beliau menegaskan tahap ketidakpatuhan masih berada pada tahap membimbangkan, sekali gus memerlukan tindakan penguatkuasaan yang konsisten dan menyeluruh. Operasi ini dijalankan di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur dengan pemeriksaan rapi terhadap dokumen, pematuhan teknikal serta keadaan fizikal kenderaan.

Menurut Hamidi, pesalah akan dikenakan tindakan serta-merta sama ada melalui saman, arahan pemeriksaan lanjut atau sitaan kenderaan.

Ops Khas ini akan diteruskan hingga 31 Disember sebagai usaha berterusan JPJ memperkukuh aspek keselamatan jalan raya, khususnya dalam sektor pengangkutan barangan dan perkhidmatan awam.

“Peningkatan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan, termasuk yang meragut nyawa, menunjukkan masih ramai pengusaha abai aspek keselamatan. Antara punca utama ialah penyelenggaraan kenderaan yang lemah, kegagalan patuhi spesifikasi teknikal serta sikap pemanduan cuai,” jelasnya.

Tambah beliau, empat kesalahan utama menjadi tumpuan operasi kali ini:

  • Memandu berterusan di lorong kanan

  • Memotong di garisan berkembar

  • Lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans tamat tempoh

  • Tidak patuh spesifikasi binaan dan penggunaan kenderaan

Kesalahan ini melibatkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD