Buat pertama kalinya selain penampilan sulungnya di Japan Mobility Show, Honda Prelude Concept akan dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan berlangsung dari 5 hingga 11 Disember ini di MITEC.
Untuk semua peminat-peminat Honda Prelude, inilah masanya untuk anda saksikan sendiri penampilan pertama coupé hibrid tersebut di mana ia kini hadir dengan reka bentuk yang moden dan menarik. Dari model ini juga, berkemungkinan kita boleh mendapat gambaran awal untuk model pengeluaran yang dijangka akan dilancarkan tahun depan.
Menurut laporan Paultan, walaupun tiada butiran teknikal dikongsikan setakat ini, ia dijangka akan menggunakan sistem hibrid e:HEV Honda, sama seperti yang terdapat pada model City, HR-V, Civic, dan CR-V.
Tiada butiran penuh tentang spesifikasi penuh dan bila Honda Prelude akan dilancarkan. Namun, ia semestinya akan mendapat sambutan yang hangat selepas Honda CR-Z dihentikan pengeluarannya pada tahun 2016.
Turut menjadi tanda tanya adalah adakah Honda Malaysia turut akan memperkenalkan Civic facelift di KLIMS? Ini disebabkan pada awal tahun, Honda Malaysia telah menjanjikan 2 model baru akan dilancarkan pada tahun ini. Model pertama, City Hatchback 2024 telah pun dilancarkan pada bulan Mei. Adakah Civic facelift akan menyusul?