Merupakan kenderaan elektrik (EV) dan model pertama yang diuji di Program Penilaian Kereta Baharu Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP), Neta V memperoleh keputusan yang sangat mengecewakan dengan penarafan sifar bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025.
Empat kategori akan dinilai di bawah protokol terkini ASEAN NCAP 2021-2025 iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT) dan Keselamatan Motosikal (MS).
Menurut laporan Paultan, dengan skor keseluruhan hanya sebanyak 28.55 markah, model ini menerima 7.89/40.0 markah untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 13.51/20.0 markah untuk Perlindungan Penumpang kanak-kanak (COP), 7.14/20.0 markah untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 0 markah untuk Keselamatan Penunggang Motosikal.
Hanya satu varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM100,000 (on-the-road tanpa insurans) selain pasaran Brunei, Indonesia dan Thailand. Model ini turut menerima 2 beg udara, Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk pemandu sahaja, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).
Dalam ujian pelanggaran hadapan, model ini mendapat 0 markah kerana mendapat perlindungan yang lemah untuk pemandu pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan, menjadikan risiko kecederaan kepada pemandu sangat tinggi, lapor Funtasticko.
Dalam ujian pelanggaran sisi, model ini mendapat 6.31/8.0 markah di mana patung ujian menerima sedikit perlindungan di bahagian dada. Ketiadaan Teknologi Perlindungan Kepala (HPT) turut menyebabkan model ini menerima 0 markah dalam aspek perlindungan kepala.
Selain itu, beberapa ciri keselamatan aktif seperti Brek Kecemasan Kendiri (AEB) Bandar, AEB Antara-Bandar, Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Amaran Tersasar Lorong (LDW) turut tidak ditawarkan pada model ini.
Oleh yang demikian, MIROS dan ASEAN NCAP menggesa semua pengeluar untuk segera melakukan ujian pelanggaran untuk memberi jaminan keselamatan kepada pengguna, terutamanya untuk jenama EV.