NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lelaki 30 Tahun Maut Selepas Kereta Rempuh Treler Yang Diparkir Di Bahu Jalan

Lelaki 30 Tahun Maut Selepas Kereta Rempuh Treler Yang Diparkir Di Bahu Jalan

TAPAH: Perjalanan seorang lelaki berusia 30 tahun berakhir dengan tragedi apabila kereta dipandunya merempuh sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 55, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.40 pagi itu melibatkan sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Temoh menuju ke Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan dipandunya melanggar bahagian tayar penggerak utama sebelah kanan treler berkenaan.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam sebelum mendapati treler terbabit berada di bahu kiri jalan yang tidak berturap, menghala ke Tapah.

Pemandu treler berusia 39 tahun pula tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku kerana kenderaan berat itu diparkir berhampiran tempat kerjanya.

Akibat impak pelanggaran, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, manakala treler berkenaan turut mengalami kerosakan pada bahagian tayar penggerak utama sebelah kanan.

Mangsa kemudiannya dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Sehubungan itu, Abdul Malik meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222.

Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140.

Sumber: Sinar Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy