Evolvelectric Motors Sdn Bhd secara rasmi telah melancarkan model pikap trak mewah terbaru mereka, JAC T9 hari ini ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian ditawarkan di mana harga bermula dari RM119,888 untuk varian diesel dan RM199,888 untuk varian BEV.
Varian diesel T9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbodiesel yang mampu menjana sebanyak 125 kW dan 410 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 2,500 rpm. Ini digandingkan bersama transmisi automatik ZF lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.
T9 BEV 4×4 pula dikuasakan oleh jenis bateri LFP berkapasiti 88 kWh, memberikan jarak pemanduan sekitar 340 km (WLTP) dengan satu pengecasan penuh. Ia menggunakan tetapan dua motor dengan janaan kuasa keseluruhan sebanyak 220 kW dan 516 Nm tork dengan kelajuan maksimum mencapai 140 km/j.

Pikap trak ini mampu menampung pengecasan pantas DC sehingga 88 kW, membolehkan bateri untuk mencapai tahap 15%-80% dalam masa 45 minit. Pengecasan AC pula boleh mengecas dari 15%-100% dalam masa sekitar 8 jam 30 minit.
Beralih kepada rekaan luaran, JAC T9 didatangkan dengan rekaan rekaan gril hadapan yang lebih memukau serta rekaan lampu hadapan yang tajam dan lampu belakang yang menegak. Selain itu, jenama JAC boleh dilihat di sekeliling pikap trak ini dan penggunaan tayar 265/60R18 yang dibalut rim aloi pelbagai-jejari bersaiz 18-inci turut ada.

Beralih kepada ruang dalaman, ia menerima 64 warna ambient lighting yang mengikut rentak dan irama muzik, sistem pengecasan tanpa wayar 50W, USB-C dan soket 220V, perehat lengan dengan sistem pendingin untuk makanan dan minuman.

T9 juga dilengkapi dengan skrin infotainment bersaiz 10.4-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, meter kluster bersaiz 7 inci, kamera definisi tinggi (HD) 360-darjah dan ia turut hadir bersama dengan 4 mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sports dan Snow.

Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) Tahap 2 seperti Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Emergency Lane Keeping, Blind Spot Detection, Rear Cross-Traffic Alert, Forward Collision Warning, Door Opening Warning, Traffic Jam Assistant, Driver Monitoring dan Autonomous Emergency Braking.
Sebagai satu-satunya pikap trak di Malaysia yang mencapai penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan Australasian New Car Assessment Program (ANCAP), model ini terbukti selamat dengan kehadiran 7 beg udara. Ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu merah, hitam, kelabu, perak dan putih.
Waranti 5 tahun tanpa had batuan dan 8 tahun (juga tanpa had perbatuan) untuk enjin (bagi pemilik pertama sahaja) akan diberikan kepada pemilik yang membeli varian diesel dan waranti 6 tahun/200,000 km untuk bateri kepada pemilik yang membeli varian BEV.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?