Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah berjaya menumpaskan taktik licik dua lelaki warga Thailand yang menyeludup petrol menggunakan kenderaan tempatan sejak 5 bulan lepas dalam satu operasi bersepadu.
Kedua-dua suspek telah ditahan semalam semasa Ops Tiris sekitar jam 1.30 tengah hari yang dijalankan oleh KPDN bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan ketika cuba melepasi kawalan dan pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga menuju ke Thailand menggunakan kenderaan tempatan yang telah diubah suai pada bahagian tangki minyak.
“Penahanan suspek itu dibuat susulan pemantauan dan telah mendapati terdapat kegiatan mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar kawasan terbabit.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua kenderaan terbabit turut membawa kepada penemuan sejumlah 245 liter petrol sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM10,000,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Siasatan awal turut mendapati kenderaan yang digunakan masih menggunakan nama pemilik asal untuk elak dari dikesan pihak berkuasa serta untuk memudahkan kerja penyelewengan.
Kedua-dua suspek telah mengaku terlibat dalam kegiatan ini sejak hampir 5 bulan lepas. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki dan berurusan dengan barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.