Harga Petrol RON95 Tidak Akan Naik Walaupun Harga Minyak Dunia Melonjak – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95 walaupun harga minyak dunia melonjak akibat ketegangan geopolitik antara Iran dan Israel.

Katanya, walaupun kenaikan harga minyak memberi keuntungan besar kepada Petronas, kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan kos bahan api yang lebih tinggi, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan bersama pimpinan PKR Johor. Dalam masa yang sama, Anwar menekankan bahawa kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal seperti cukai SST dengan berhati-hati agar golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) tidak terkesan.

Beliau turut menjelaskan bahawa sesetengah pihak mungkin keliru, contohnya bila dikatakan semua pisang dikenakan SST. Sebenarnya hanya pisang import sahaja yang dikenakan cukai. Kerajaan akan perjelaskan isu ini kerana yang penting, rakyat berpendapatan rendah tidak dibebankan.

Sebagai sokongan kepada hasil tempatan, Anwar mencadangkan agar semua majlis rasmi kerajaan hanya hidangkan buah-buahan dan makanan tempatan.

Beliau juga berkata, senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan SST boleh disemak semula jika ada kekeliruan atau ketidakadilan dalam pelaksanaannya.

Berkenaan cukai ke atas institusi pendidikan, Anwar menerangkan bahawa hanya sekolah antarabangsa dengan yuran yang sangat tinggi dikenakan cukai. Sekolah biasa atau sekolah swasta yang kenakan yuran RM10,000 hingga RM20,000 setahun tidak dikenakan cukai, tapi kalau yurannya RM60,000 ke atas, barulah dikenakan sedikit cukai.

Akhir sekali, Anwar berkata hasil kutipan cukai akan digunakan untuk keperluan awam seperti membina sekolah dan menaik taraf hospital kerajaan. Katanya, hospital sekarang sesak dan banyak sekolah perlukan pembaikan. Maka, kerajaan akan kutip cukai dari golongan kaya dan sektor asing, bukan rakyat biasa.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD