Laluan PLUS Arah Selatan Kembali Selamat Selepas Pemusnahan Bom Mortar

Laluan PLUS Arah Selatan Kembali Selamat Selepas Pemusnahan Bom Mortar

Laluan Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, kira-kira empat kilometer selepas Terowong Menora, kini disahkan selamat sepenuhnya selepas satu bom mortar yang ditemui di lokasi tersebut berjaya dimusnahkan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, memaklumkan bahawa objek berkenaan merupakan bom mortar 81mm yang dikategorikan sebagai Unexploded Ordnance (UXO). Ia ditemui pada jam 9.30 pagi, Isnin lalu ketika kerja-kerja pembersihan landskap melibatkan pokok dan rumput dijalankan.

Menurut beliau, penyelia kerja pembersihan tersebut segera menghubungi polis peronda lebuh raya, sebelum laporan rasmi dibuat di Balai Polis Jelapang sekitar jam 12.15 tengah hari.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama UPB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh segera ke lokasi dan melaksanakan proses pemusnahan sekitar jam 1 petang menggunakan teknik ‘high order’ dengan kaedah elektrik,” katanya.

Pemeriksaan ke atas bom tersebut mengesahkan ia masih dalam keadaan aktif dan lengkap sifat. Namun, tindakan pantas pasukan UPB berjaya memusnahkan bom tersebut tanpa sebarang insiden melibatkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda.

Terdahulu, penemuan bom itu menyebabkan penutupan sementara laluan PLUS antara Kuala Kangsar dan Ipoh bagi kedua-dua arah sebagai langkah keselamatan, yang turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 15 kilometer.

SUMBER : BeritaHarian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD