NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Ustaz Wadi Annuar Kemalangan Di Gerik, Vellfire Bertembung Dengan Sebuah Kereta

Ustaz Wadi Annuar Kemalangan Di Gerik, Vellfire Bertembung Dengan Sebuah Kereta

Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, 43, dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama beberapa kakitangannya di kawasan Air Banun, Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi itu membabitkan sebuah Toyota Vellfire yang dinaiki beliau dengan sebuah lagi kenderaan.

Menurut perkongsian sukarelawan, Mohd Amir Faizal, menerusi video yang dimuat naik sekitar jam 4 pagi, keadaan Ustaz Wadi dilaporkan stabil dan beliau sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Gerik.

Amir memaklumkan bahawa pendakwah berkenaan masih sedar dan boleh bercakap, namun mengadu mengalami kesakitan pada bahagian dada serta perut susulan insiden tersebut.

“Keadaan Ustaz Wadi stabil dan boleh bercakap, cuma dia ada mengadu bahagian dada dan perut ada kesakitan akibat kemalangan.

“Ustaz duduk di bahagian belakang. Bila kena kemalangan kereta bertembung itu, terpelanting habis semua,” katanya.

Dalam kejadian sama, seorang lagi ustaz yang turut berada di dalam kenderaan berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan dagu.

Menurut Amir, Ustaz Wadi turut menjalani pemeriksaan X-ray di hospital bagi menilai keadaannya selepas kemalangan.

Mohon Orang Ramai Doakan Keselamatan Mangsa

Kejadian itu turut disahkan menerusi satu hantaran di Facebook pendakwah berkenaan yang memaklumkan beliau bersama beberapa kakitangannya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan di Gerik, Perak.

Menerusi hantaran tersebut, orang ramai diminta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa yang terlibat.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa orang staf telah terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan di Gerik, Perak.

“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terlibat,” menurut hantaran berkenaan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim Turut Titip Doa

Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turut menyampaikan doa agar Ustaz Wadi Annuar diberikan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Menerusi hantaran di platform Threads, Anwar berharap segala urusan rawatan pendakwah itu dipermudahkan, selain mendoakan agar beliau diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

“Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi Jumaat.

“Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini.

“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” katanya.

Orang ramai turut diharapkan dapat mendoakan agar Ustaz Wadi Annuar serta semua individu yang terlibat diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan.

Sumber: mStar

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy