Rel Troli Era Perang Dunia Kedua Ditemui Di Fort Cornwallis

Rel Troli Era Perang Dunia Kedua Ditemui Di Fort Cornwallis

Satu penemuan bersejarah berlaku di Fort Cornwallis apabila rel troli dipercayai tinggalan sistem pengangkutan era Perang Dunia Kedua ditemui tertanam berhampiran kawasan berkenaan pada 26 Jun lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata penemuan rel sepanjang 7.4 meter itu berlaku ketika kerja menaik taraf laluan pejalan kaki dan landskap di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, berhampiran benteng barat laut Fort Cornwallis.

Menurutnya, rel itu tertulis tarikh pengeluaran 1895, namun tahun pemasangannya masih belum dapat dipastikan. Ini bukan kali pertama penemuan rel seumpama itu direkodkan, selepas beberapa segmen lain turut dijumpai dalam kawasan kubu itu pada tahun 2017 dan 2018.

“Rel itu lengkap dengan pengalas asal dan menjadi bukti penting terhadap kewujudan sistem logistik ketenteraan lama di tengah-tengah bandar warisan George Town,” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, jajaran rel itu dipercayai sepanjang 4 hingga 5 kilometer dan merupakan sistem pengangkutan ringan yang dibina British serta digunakan oleh tentera Jepun semasa perang bagi mengangkut peluru, makanan dan bahan api dari pelabuhan ke gudang penyimpanan sekitar Esplanade dan Fort Cornwallis.

“Gambar udara War Office pada 1945 menunjukkan rel ini melingkari kawasan Fort Cornwallis, dan mungkin ada kaitan dengan sistem rel Bukit Bendera sekitar tahun 1930-an. Kajian masih diteruskan untuk mengesahkan sejarah penuh rel ini,” tambahnya.

Penemuan ini turut menarik minat Jabatan Warisan Negara (JWN), GTCDC, MBPP dan kerajaan negeri yang kini sedang menilai kaedah terbaik untuk memulihara rel tersebut.

Antara cadangan ialah mengekalkan rel itu di lokasi asal sebagai pameran terbuka lengkap dengan maklumat sejarah dan elemen landskap bagi menarik pelancong.

“Penemuan ini bukan sahaja signifikan dari segi sejarah, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan dan memperkukuh nilai warisan kawasan North Seafront,” katanya.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD