MG S5 EV Tampil Sebagai Alternatif Kompetitif Dalam Pasaran EV Tempatan

MG S5 EV Tampil Sebagai Alternatif Kompetitif Dalam Pasaran EV Tempatan

Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus berkembang pesat, terutamanya sejak pelaksanaan dasar cukai sifar bagi model import sepenuhnya (CBU). Dalam landskap yang semakin kompetitif ini, MG Motor Malaysia tampil dengan tawaran terbaharu mereka – MG S5 EV, sebuah SUV elektrik yang diletakkan tepat di antara dua model paling laris ketika ini: BYD Atto 3 dan Proton e.MAS 7.

Kami berpeluang menguji varian MG S5 LUX Long Range dalam satu perjalanan jarak jauh dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan kembali semula. Berikut adalah ulasan kami.

MG S5 EV dilancarkan secara rasmi selepas penampilan sulung di Malaysia Autoshow 2025, MG S5 hadir dalam tiga varian berbeza – COM, COM Long Range, dan LUX Long Range. Kesemua varian dilengkapi bateri teknologi LiFePo dan motor pacuan belakang yang menghasilkan 170PS dan 250Nm.

Spesifikasi utama seperti suspensi belakang multilink, Vehicle-to-Load (V2L), sistem regen tiga tahap serta pelbagai ciri keselamatan disertakan sebagai standard.

Perbandingan Varian MG S5:

VarianCOMCOM Long RangeLUX Long Range
HargaRM116,548RM126,548RM136,548
Kapasiti Bateri49kWh62kWh62kWh
Jarak (WLTP)340km430km425km
Pengecasan7kW AC, 120kW DCSama7kW AC, 150kW DC
Rim17”17”18” dua tona

Ciri-ciri tambahan termasuk:

  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Paparan infotainmen 12.8” & panel instrumen digital 10.25”
  • Kamera undur & pandangan 360
  • Sunroof panorama
  • Pad pengecas tanpa wayar
  • Kerusi kuasa pemandu
  • But elektrik dengan sensor kaki
  • Sistem ADAS penuh & 7 beg udara

Ciri Pemanduan & Dinamik Kenderaan

Berbanding kebanyakan EV keluarga yang sering terasa berat dan kurang responsif, MG S5 memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lincah dan mengujakan. Gabungan pacuan roda belakang (RWD) dan sistem XDS yang mengawal brek pada roda depan dalam selekoh ketat menjadikan pengendalian lebih tajam dan stabil.

Pengagihan berat 47:53 (depan ke belakang) dan penggunaan suspensi multilink belakang memberikan kestabilan optimum ketika melalui lebuh raya atau jalan berselekoh. Pecutan 0-100km/j dicapai dalam masa sekitar 8 saat – cukup pantas untuk kategori SUV keluarga.

Walaupun stereng dalam mod Sport masih boleh diperhalusi lagi dari segi rasa dan ketegasan, secara keseluruhan, MG S5 memberikan pemanduan yang tangkas dan selesa.

Reka Bentuk dan Butiran Halus yang Menawan

MG S5 menunjukkan perhatian terhadap butiran reka bentuk luaran dan dalaman. Lampu siang berbentuk inspirasi bendera perlumbaan, kemasan fabrik bercorak logo ‘M’ pada tempat duduk, dan penggunaan warna kelabu cerah memberi sentuhan elegan dan moden kepada kabin.

Sunroof panorama yang dilengkapi penutup automatik menambahkan rasa lapang, manakala kemasan corong penyaman udara yang tersorok di sebalik kemasan ‘carbon weave’ matte memperlihatkan rekaan yang teliti.

Beberapa elemen praktikal turut mencuri tumpuan:

  • Sistem penyaman udara yang sangat sejuk – satu kelebihan besar berbanding banyak EV lain
  • Butang fizikal untuk kawalan suhu dan kelantangan audio, memberikan pengalaman pengguna yang lebih intuitif
  • Soket USB-C dan corong udara di tempat duduk belakang, lengkap dengan perehat tangan tengah
  • Ruang simpanan tambahan di bawah lantai but dan pelindung barangan

Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan kecil seperti:

  • Kerusi penumpang hadapan masih menggunakan pelarasan manual
  • Tahap kebisingan jalan dan angin pada kelajuan tinggi agak ketara

Inovasi dan Kos Penyelenggaraan

Salah satu ciri tersembunyi yang patut diberi pujian ialah susunan bateri secara mendatar, yang membolehkan lebih ruang kaki dan potensi jangka hayat bateri yang lebih panjang berikutan penyejukan yang lebih baik.

Dari segi penyelenggaraan, MG Motor Malaysia menganggarkan kos tahunan purata hanya sekitar RM350, termasuk penggantian penapis aircond, cecair brek, coolant, dan upah. Kos ini tidak termasuk tayar, brek dan wiper.

Warna dan Pakej Perkhidmatan

MG S5 ditawarkan dalam lima pilihan warna:

  • Arctic White
  • Monument Silver
  • Camden Grey
  • Dynamic Red
  • Elegant Latte (eksklusif untuk varian LUX)

Waranti yang disediakan:

  • 5 tahun / 150,000km untuk kenderaan
  • 8 tahun / 180,000km untuk bateri
  • 8 tahun / 160,000km untuk motor dan unit kawalan

MG S5 EV membuktikan bahawa kenderaan elektrik tidak semestinya membosankan atau mahal. Ia menawarkan pakej lengkap dari segi harga, prestasi dan ciri praktikal, menjadikannya antara pilihan yang sangat berbaloi untuk pembeli yang mencari SUV elektrik berteknologi tinggi dengan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD