Pemilikan Aset Mewah Jadi Penentu Kelayakan Subsidi Petrol RON95 – Anwar

Pemilikan hartanah dan kenderaan mewah antara kriteria tambahan ditetapkan dalam menentukan kelayakan seseorang individu menikmati subsidi petrol RON95. Kriteria tambahan lain termasuk pendapatan bulanan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menjelaskan kerajaan berpandukan perincian daripada pelbagai sumber data.

“Antaranya penggunaan data pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Ini bagi memastikan pendekatan lebih menyeluruh dapat diambil bagi memastikan bantuan disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Beberapa kriteria tambahan turut akan diambil kira termasuk pemilikan hartanah dan kenderaan mewah, selain pendapatan bulanan, sebelum keputusan akhir dimuktamadkan dan diumumkan menjelang akhir September,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat untuk menjawab soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 serta mekanisme dan pengkelasan penerima.

Perdana Menteri berkata kerajaan kekal komited melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 yang tidak akan memberi kesan kepada 85% rakyat Malaysia secara langsung.

“Hanya bukan warganegara serta mereka yang benar-benar berkemampuan akan dikecualikan daripada menerima subsidi,” katanya.

Pada 22 Julai lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu.

Menjawab soalan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai status terkini pelaksanaan program subsidi bersasar, Anwar berkata kerajaan setiap tahun mengeluarkan dana besar bagi menampung perbelanjaannya.

“Tahun lalu sahaja, lebih RM40 bilion telah dibelanjakan untuk subsidi kepenggunaan yang merangkumi petrol, diesel, gas memasak, minyak masak paket, bil elektrik dan telur,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan besar itu telah mengehadkan ruang fiskal kerajaan untuk menyediakan pembangunan sosioekonomi yang sewajarnya, selain menyebabkan ketirisan dan penyeludupan yang dianggarkan melebihi 20% daripada jumlah penggunaan.

“Cabaran utama kerajaan adalah bagaimana menangani ketirisan subsidi akibat penyeludupan tanpa menjejaskan rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Kerajaan telah memulakan penyasaran subsidi ke atas elektrik dan diesel. Walaupun satu cabaran, kerajaan tetap komited melestarikan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan serta memastikan barangan bersubsidi dimanfaatkan kumpulan benar-benar layak,” katanya. – FMT

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD