Kemalangan Di Rompin Ragut Tiga Nyawa, Termasuk Seorang Kanak-Kanak

Kemalangan Di Rompin Ragut Tiga Nyawa, Termasuk Seorang Kanak-Kanak

Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban, berhampiran Bukit Serok, Bandar Tun Abdul Razak, petang tadi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.46 petang.

Siasatan awal mendapati kereta berkenaan membawa enam individu — seorang lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan — sedang dalam perjalanan dari Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah, Rompin.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu bertembung dengan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Impak perlanggaran menyebabkan seorang wanita tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Enam mangsa lain termasuk pemandu pacuan empat roda yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan.

Bagaimanapun, dua mangsa — seorang wanita berusia 18 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun — disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan kejadian itu, namun identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

“Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan dan hubungan antara semua mangsa,” katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa kini ditempatkan di Hospital Muadzam Shah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk proses bedah siasat.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD