Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menubuhkan sebuah Lembaga Siasatan bagi menyiasat insiden kemalangan membabitkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah semalam.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata siasatan akan dilakukan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM.
“Saya sendiri telah meninjau lokasi kejadian pagi tadi dan boleh mengesahkan pesawat itu musnah sepenuhnya atau total lost. Lembaga siasatan akan segera ditubuhkan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan hari ini.
Dalam kejadian semalam, pesawat F/A-18D Hornet milik No 18 Skuadron yang berpangkalan di Butterworth tetapi kini ditempatkan sementara di Kuantan, terlibat dalam kemalangan di landasan. Dua juruterbangnya terselamat dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Muhamad Norazlan, pasukan penyiasat akan memulakan kerja hari ini dan laporan awal dijangka dikeluarkan secepat mungkin bagi membantu menentukan langkah seterusnya berhubung operasi pesawat F/A-18D Hornet.
Beliau menegaskan TUDM sentiasa mengutamakan aspek keselamatan penerbangan dan akan mengambil langkah pencegahan sewajarnya supaya kejadian serupa tidak berulang.
Mengulas keadaan pesawat yang musnah, beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan punca kemalangan.
“Berdasarkan rakaman video, kita tidak boleh membuat kesimpulan sama ada ia berpunca daripada bird strike, Foreign Object Debris (FOD) yang mungkin masuk ke enjin ketika berlepas, atau kegagalan enjin itu sendiri.
Pesawat ini dilengkapi sistem seperti kotak hitam dan data collector. Setelah diperoleh, barulah kita boleh mengenal pasti punca sebenar insiden,” jelasnya. – Kosmo!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?