Harga Kenderaan di Malaysia Ditentukan oleh Pasaran, Bukan Kerajaan – MITI

Harga Kenderaan di Malaysia Ditentukan oleh Pasaran, Bukan Kerajaan – MITI

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa harga jualan kenderaan di Malaysia tidak dikawal oleh kerajaan, sebaliknya ditentukan berdasarkan pasaran.

Menurut MITI, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyediakan pelbagai insentif dan pengecualian cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan, termasuk keluaran syarikat automotif nasional.

“Antara tujuan insentif ini adalah untuk menggalakkan penggunaan komponen tempatan daripada vendor, menarik pelaburan berkualiti serta menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia.

“Melalui langkah ini, pengeluar kenderaan dapat menawarkan harga yang lebih kompetitif di pasaran tempatan berbanding kenderaan import sepenuhnya,” kata MITI dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman web Parlimen.

Kenyataan itu menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim berhubung sama ada kerajaan bercadang menilai semula harga kereta buatan tempatan, yang didakwa terlalu mahal sehingga memaksa rakyat mengambil pinjaman sewa beli jangka panjang meskipun tidak dikenakan duti import.

MITI turut memaklumkan bahawa terdapat pengeluar yang masih menawarkan kenderaan pada harga berpatutan.

Perodua misalnya menghasilkan kenderaan kategori ‘Rahmah’ yang dijual pada harga sekitar RM22,000 tidak termasuk insurans, manakala Proton menawarkan model Saga dengan harga bawah RM40,000.

“Kerajaan berharap pendekatan ini membolehkan rakyat memilih kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kewangan masing-masing sekali gus mengelakkan beban hutang yang tinggi,” jelas MITI. – Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD