NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kilang Shah Alam Rasmi Ditutup, Kini Proton Beroperasi Sepenuhnya di Tanjong Malim

Kilang Shah Alam Rasmi Ditutup, Kini Proton Beroperasi Sepenuhnya di Tanjong Malim

Proton melakar sejarah baharu apabila secara rasmi telah memindahkan keseluruhan operasi pengeluarannya ke Tanjong Malim, menandakan berakhirnya hampir empat dekad pengeluaran di kilang asalnya di Shah Alam.

Langkah besar ini turut disertai perpindahan 1,400 kakitangan terakhir dari Shah Alam ke fasiliti moden Proton Tanjong Malim yang terletak di Automotive High Tech Valley (AHTV), Perak.

Peristiwa bersejarah ini disempurnakan dengan pengeluaran unit terakhir Proton Saga di kilang Shah Alam pada 30 September 2025, sebelum pengeluaran model popular itu dipindahkan sepenuhnya ke Tanjong Malim, yang kini turut menempatkan barisan model seperti Persona, siri X dan S70.

Ditubuhkan pada tahun 1985, kilang Shah Alam merupakan mercu tanda permulaan industri automotif tempatan. Dengan keluasan 83.48 hektar dan pelaburan kira-kira RM370 juta, ia menjadi pusat kepada banyak detik penting dalam sejarah Proton — termasuk penubuhan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) automotif pertama di Malaysia serta litar ujian separa berkelajuan tinggi untuk pembangunan kejuruteraan tempatan.

Selama hampir empat dekad, kilang ini telah menghasilkan lebih 4 juta unit kenderaan, antaranya model ikonik seperti Saga, Wira, Perdana dan Exora, yang menjadi sebahagian daripada perjalanan rakyat Malaysia.

Kini, semangat dan keazaman yang membina legasi itu diteruskan di Tanjong Malim, dengan tumpuan terhadap teknologi moden, inovasi dan kecekapan pengeluaran yang lebih tinggi.

Majlis sambutan khas bagi meraikan perpindahan tenaga kerja telah diadakan di Proton Tanjong Malim, disempurnakan oleh Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad, bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat.

Dalam ucapan beliau, Ainol menegaskan bahawa perpindahan ini bukan sekadar langkah logistik, tetapi juga simbol kepada transformasi Proton sebagai pengeluar automotif moden.

“Hari ini menandakan satu titik bersejarah bagi Proton. Perpindahan 1,400 pekerja dari Shah Alam ke Tanjong Malim membawa bersama pengalaman dan dedikasi puluhan tahun. Dengan kekuatan ini, Proton bersedia melangkah ke fasa baharu sebagai hab utama untuk generasi kenderaan masa depan,” katanya.

Kemudahan Tanjong Malim kini menjadi pusat sehenti untuk pengeluaran, R&D dan pemasangan, menjadikannya tunjang utama dalam pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV).

Dilengkapi dengan lima bahagian utama — Pemesinan Enjin & Transmisi, Penekapan (Stamping), Pemasangan Badan, Cat, dan Trim & Final Assembly, kilang ini menggabungkan teknologi Industri 4.0 untuk menghasilkan kenderaan dengan lebih efisien dan konsisten.

Ia juga menempatkan jentera penekan mekanikal terbesar di Malaysia, serta barisan pemasangan enjin 1.5 TGDi pertama di luar China, membuktikan keupayaan Proton dalam pengeluaran berteknologi tinggi.

Dengan kapasiti pengeluaran sehingga 250,000 unit setahun, Proton bukan sahaja memperkukuh rantaian pembekal tempatan melalui lokalisasi komponen, tetapi turut menjadikan Malaysia sebagai hab eksport utama kenderaan panduan kanan (RHD) untuk kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara.

Yang paling penting, fasiliti ini turut menempatkan kilang pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) pertama di Malaysia, iaitu Proton e.MAS 7 dan tak lama lagi Proton e.MAS 5.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD