passionately driven

Harga RON95 Tanpa Subsidi Kini RM2.65 Seliter – Penerima Budi95 Jimat 66 Sen Seliter

Harga RON95 Tanpa Subsidi Kini RM2.65 Seliter – Penerima Budi95 Jimat 66 Sen Seliter

Seperti dijadualkan, kerajaan kini menetapkan harga RON95 tanpa subsidi mengikut mekanisme apungan mingguan, dengan harga baharu RM2.65 seliter untuk minggu hadapan. Harga ini hanya terpakai bagi mereka yang tidak layak menerima subsidi Budi Madani RON95 (Budi95).

Bagi rakyat Malaysia yang layak menerima Budi95 dan mempunyai lesen memandu sah, harga kekal RM1.99 seliter, bermakna penerima subsidi menikmati penjimatan 66 sen setiap liter petrol.

Kenaikan harga ini diumumkan menerusi kemas kini mingguan harga bahan api oleh Kementerian Kewangan petang semalam. Sebelum ini, harga RON95 tanpa subsidi kekal RM2.60 seliter sepanjang Oktober, seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ketika pelancaran program Budi95 pada 30 September lalu.

Menurut beliau ketika itu, harga RM2.60 ditetapkan selama sebulan bagi memberi masa kepada orang ramai memahami cara Budi95 berfungsi sebelum harga diapungkan berdasarkan harga minyak dunia.

“Kami kekalkan harga RM2.60 selama sebulan supaya semua pihak dapat menyesuaikan diri. Selepas itu, sama seperti diesel, harga akan disemak setiap minggu mengikut harga pasaran global,” katanya sebelum ini.

Tambah beliau, harga bahan api akan bergerak selaras dengan pasaran dunia — naik apabila harga global meningkat, dan turun apabila harga minyak dunia menurun.

Beliau turut memberi contoh pelaksanaan pengapungan harga diesel tanpa subsidi tahun lalu, yang pada awalnya berharga RM3.35 seliter, namun kini turun kepada RM3.07 seliter berikutan penurunan harga minyak mentah global.

Langkah ini menandakan fasa baharu dalam pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan, di mana harga pasaran diaplikasikan secara telus sambil memastikan golongan yang layak terus menikmati manfaat di bawah inisiatif Budi95.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD