Jepun Nilai Semula Dasar Ekopelancongan Akibat Lonjakan Pelancong Asing

Jepun Nilai Semula Dasar Ekopelancongan Akibat Lonjakan Pelancong Asing

Jepun bakal menyemak semula dasar ekopelancongannya susulan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pelancong asing yang dilihat boleh mengancam keseimbangan alam semula jadi negara itu.

Menurut laporan Agensi Berita Kyodo, Kementerian Alam Sekitar Jepun pada Selasa telah mengemukakan draf dasar baharu sebagai langkah menyesuaikan semula pendekatan ekopelancongan negara berkenaan.

Ini merupakan semakan pertama sejak dasar itu diperkenalkan pada tahun 2008, dengan tumpuan kepada pengukuhan pemantauan serta galakan terhadap pelancongan bertanggungjawab. Draf berkenaan dijangka dimuktamadkan seawal Mac tahun hadapan.

Dokumen itu menjelaskan bahawa lonjakan pelancong, yang turut didorong oleh pengaruh media sosial, menyebabkan beberapa destinasi popular mengalami kesesakan, pencemaran sampah dan kerosakan terhadap flora serta fauna tempatan.

Bagaimanapun, kerajaan Jepun tetap menegaskan bahawa ekopelancongan memainkan peranan penting dalam mengimbangi pemuliharaan alam dan budaya dengan pengalaman pelawat. Pendekatan ini juga dianggap mampu memperkukuh kelestarian komuniti tempatan.

Draf tersebut turut menyarankan agar pihak berkuasa tempatan terus menilai kesan pelancongan terhadap alam sekitar dan kehidupan penduduk setempat. Ia mencadangkan peraturan penggunaan destinasi diwujudkan jika perlu, dengan mengambil kira pandangan komuniti dan pengusaha pelancongan di kawasan berkenaan.

Selain itu, kerajaan pusat juga dicadang memberikan bantuan kewangan bagi melatih pemandu pelancong khusus serta memperluas penyediaan perkhidmatan pelbagai bahasa di lokasi tumpuan pelancong.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD