Seorang wanita, Siti Hasniah Hasan, 41, berdepan saat mencemaskan apabila hampir melanggar seekor buaya yang melintang di tengah jalan berhampiran Empangan 25, Duyong, malam semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, Siti Hasniah yang membonceng motosikal ditunggangi suaminya, Yusmalizai Mat Jusoh, 43, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Kandang melalui laluan pintas yang sering digunakan penduduk. Ketika itu hujan lebat dan laluan sunyi tanpa kenderaan lain.
Menurutnya, suaminya menunggang pada kelajuan tinggi sebelum tekan brek mengejut apabila ternampak seekor buaya besar melintang di atas jalan.
“Memang tak nampak apa sebab hujan lebat. Mujur suami sempat brek. Jarak kami sangat dekat. Saya terus turun dan berlari ke belakang,” katanya. Suaminya sempat merakam video dan gambar sebagai bukti sebelum mereka meneruskan perjalanan.
Siti Hasniah yang sudah dua tahun tinggal di kawasan berkenaan berkata, kejadian buaya naik ke darat bukan kali pertama, malah berlaku sehari sebelumnya. Katanya, lokasi tersebut adalah laluan orang ramai dan tempat penduduk beriadah pada waktu petang.
Beliau sudah menghantar gambar kejadian kepada ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, dan berharap tindakan segera diambil kerana buaya berkenaan bersaiz besar dan berbahaya.
Sementara itu, seorang penduduk lain, Muhammad Aiman Syarifuddin Zainuddin, 23, memaklumkan kejadian pertama buaya naik ke darat berlaku sekitar jam 10 malam Sabtu lalu. Buaya itu ditemui adik saudaranya berhampiran jambatan sama dalam keadaan mulut terbuka.
Penduduk kemudian menghubungi bomba, namun pasukan yang tiba hanya menghalau haiwan itu kembali ke sungai.
“Kami kecewa buaya tidak ditangkap kerana saiznya besar dan kawasan ini sering dilalui penduduk, termasuk kanak-kanak,” katanya. – Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?