Proton Saga Serba Baharu Rasmi Dilancarkan – Rebat RM1k, Harga Bermula RM38k – RM49k

Proton Saga Serba Baharu Rasmi Dilancarkan – Rebat RM1k, Harga Bermula RM38k – RM49k

Proton telah melancarkan secara rasmi model yang paling dinanti-nantikan ramai, Saga Serba Baharu, untuk pasaran Malaysia. 3 varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula RM37,990 untuk varian Standard, RM43,990 untuk varian Executive dan RM48,990 untuk varian Premium.

Model ini berukuran 4,335 mm panjang, 1,690 mm lebar, 1,515 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,465 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 420 liter, 7 liter lebih besar dari model Saga sebelum ini.

Ini apa yang anda perlu tahu secara ringkas perbezaan di antara ketiga-tiga varian yang ditawarkan. Spesifikasi yang lebih mendalam anda boleh baca di SINI.

Varian Standard hadir dengan enjin 1.5L i-GT, transmisi 4AT, projektor halogen, rim 14 inci, sistem audio dengan Bluetooth serta kawalan jauh untuk kunci dan but. Ia kekal sebagai pilihan paling berbaloi untuk pengguna yang mahukan sebuah sedan ringkas dan boleh diharap.

Beralih ke versi Executive, naik taraf diberikan pada bahagian pencahayaan dengan lampu siang LED (DRL), auto headlamps, rim 15 inci, skrin 8 inci dengan Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, dan fungsi intelligent entry. Kelengkapan tambahan seperti kamera undur serta fabrik tempat duduk bertekstur memberi sentuhan premium pada harga pertengahan.

Namun fokus utama Saga MC3 tahun ini semestinya varian Premium. Ia bukan sekadar dilengkapi transmisi CVT, tetapi hadir dengan peningkatan keselamatan paling besar termasuk 6 beg udara dan pakej ADAS yang merangkumi AEB, FCW, LDW, RCTA, LCA dan banyak lagi. Tempat duduk balutan leatherette, rim dua tona serta lampu belakang LED penuh turut membezakan rupa luarnya.

Varian Premium juga menawarkan penggunaan bahan api lebih efisien, pada 4.9L/100 km, berbanding 5.1L/100 km bagi Standard dan Executive.

Lima warna ditawarkan untuk Saga 2026, termasuk dua warna baru iaitu Deep Marine Blue dan Space Grey, serta tiga lagi warna sedia ada terdiri dari Ruby Red, Armour Silver dan Snow White.

Sehingga 31 Disember 2025, pelanggan juga akan menerima rebat tunai RM1,000, menjadikan harga rasmi model ini lebih rendah daripada yang diumumkan.

Tanda harga yang diletakkan termasuk jaminan Pro-Warranty 5 tahun/150,000 km serta kos upah percuma untuk tiga servis berjadual pertama. Bagi 10,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan sebelumnya, mereka akan menerima kad Touch ’n Go edisi khas dan menikmati servis percuma selama setahun, termasuk alat ganti dan upah.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD