Akhirnya, Perodua QV-E muncul secara rasmi di pasaran. Model ini dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat MITI sebentar tadi, sekali gus menandakan kelahiran kereta elektrik 100% buatan Malaysia pertama. Sejak beberapa siri ‘teaser’ sebelum ini, Perodua jelas mahu menegaskan bahawa projek P01A ini dibangunkan dari tanah air – bukan model rebadge seperti Proton eMas yang diasaskan platform Geely.

Perodua QV-E – singkatan kepada Quest for Visionary Electric Vehicle (disebut ‘kiu-vi’) – ditawarkan pada harga RM80,000 tanpa insurans. Namun penting: harga itu tidak termasuk bateri, kerana Perodua memperkenalkan konsep Battery-as-a-Service (BaaS). Pemilik perlu melanggan bateri pada kadar RM275 sebulan, dibayar bersama ansuran kereta.
Anggaran bayaran bulanan (kadar faedah 2.5%):
9 tahun: RM910 + RM275 = RM1,185
7 tahun: RM1,120 + RM275 = RM1,395
5 tahun: RM1,500 + RM275 = RM1,775
Tunai: RM275 / bulan (langganan bateri)
Perodua percaya skim ini menyelesaikan isu utama EV seperti kos bateri yang mahal, susut nilai, dan pelupusan bateri yang tidak selamat. Dengan P2 sendiri menanggung ‘liabiliti’ bateri, pengguna dikatakan akan lebih tenang.
Ya, Perodua memang ada hubungan dengan Daihatsu, tetapi Jepun sendiri agak ketinggalan dalam pembangunan EV. Tiada model sesuai untuk dijadikan asas, jadi Perodua terpaksa membangunkan EV ini dari kosong bermula Ogos 2023 atas permintaan kerajaan.
Kerja keras ini memakan:
RM800 juta kos R&D
266,000 jam kerja
Dalam masa kurang dua tahun, QV-E berjaya direalisasikan tepat pada masanya.
Perodua juga mengesahkan bahawa mereka memiliki sepenuhnya hak harta intelek platform EV ini, walaupun beberapa komponen kritikal diperoleh daripada pakar dunia, termasuk bateri LFP dari CATL.
Paling menarik, kini disahkan bahawa Magna Steyr menjadi penasihat pembangunan platform EV ini. Untuk rekod, Magna Steyr ialah firma yang membina Mercedes G-Class, BMW Z4, Toyota GR Supra dan pernah menghasilkan Jaguar I-Pace. Mereka juga pernah membantu BMW dan Mercedes dalam pembangunan teknologi awal.

Untuk QV-E, dimensinya ialah:
Panjang: 4,170 mm
Lebar: 1,800 mm
Tinggi: 1,502 mm
Jarak roda: 2,680 mm
Berbanding Myvi, QV-E lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah. Reka bentuknya tampil dengan gaya sportback, mirip Toyota C-HR, memberikan imej lebih agresif dan moden.

Jika dibandingkan dengan Proton eMas 5:
35 mm lebih panjang
5 mm lebih sempit
72 mm lebih rendah
Jarak roda 30 mm lebih panjang
Walaupun kelihatan seperti crossover, ruang dalaman – terutama di belakang – tidak seluas BYD Dolphin atau eMas 5. Ini kerana QV-E disasarkan kepada golongan muda M40 ke atas, pasangan muda, atau anak keluarga T20 yang mahukan gaya hidup lebih ‘sporty’ dan urban, bukan fokus kepada ruang maksimum.
QV-E bukan sekadar cantik. Ia datang dengan motor elektrik depan yang menghasilkan:
204 PS
285 Nm
0-100 km/j dalam 7.5 saat (paling laju pernah Perodua buat)
Kelajuan maksimum 165 km/j (dicapai semasa ujian di Litar Sepang)
Prestasi ini jauh lebih pantas daripada Proton eMas 5.

Dikuasakan bateri LFP 52.5 kWh daripada CATL, bateri ini:
Berat: 405.7 kg
Penarafan: IP69 (tahan habuk & air)
Jarak NEDC: 445 km
Anggaran WLTP: ~380 km
Untuk konteks, Proton eMas 5 (varian Premium) dengan bateri 40.16 kWh menawarkan 325 km WLTP.
DC Fast Charging: 60 kW (30 minit dari 30% → 80%)
AC Home Charging: 6.6 kW (8 jam dari 0% → 100%)
Walaupun kuasa pengecasan DC Perodua lebih rendah daripada Proton eMas 5 Premium (71 kW), ia masih sesuai untuk kegunaan harian.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?