NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Banjir Hatyai Jejaskan Puluhan Kenderaan Milik Rakyat Malaysia

Banjir Hatyai Jejaskan Puluhan Kenderaan Milik Rakyat Malaysia

Bencana banjir yang melanda Hatyai, Thailand turut menjejaskan pelbagai kenderaan milik rakyat Malaysia yang sedang bercuti di wilayah tersebut. Keadaan itu tular selepas beberapa gambar kereta dan motosikal ditemui terbiar dalam banjir dikongsi di media sosial.

Menerusi hantaran Facebook seorang aktivis, beliau yang melakukan kerja sukarelawan membawa keluar rakyat Malaysia terperangkap di Hatyai turut berkongsi beberapa foto kenderaan yang ditemuinya. “Antara gambar kereta mangsa yang sempat diambil, semoga bertabah. Banyak lagi yang terkandas. Geng Proton X50 pun ada yang cari tapi tak jumpa kereta. Semoga Malaysia dan Thailand lekas pulih,” katanya dalam hantaran tersebut.

Difahamkan, sebaha­gian pemilik kenderaan telah pulang ke Malaysia selepas gagal menyelamatkan kereta mereka ketika banjir mula melanda wilayah berkenaan. Gambar-gambar itu mencetuskan keprihatinan ramai apabila ada kenderaan yang dipercayai baru dibeli, namun tetap tidak sempat dibawa keluar.

Komen netizen turut membanjiri hantaran tersebut. Antara yang menzahirkan simpati ialah Mohd Kamarul Azlie Rahim yang berkata banyak kereta Malaysia terkandas. Seorang lagi, Mohd Aidie Sanuzi, berkongsi bahawa tujuh motosikal milik rakannya turut sangkut dan mereka hanya mampu menyelamatkan diri sebelum kembali mengambilnya apabila keadaan pulih.

Kumpulan pengguna Proton X50 dari Kedah juga dilaporkan terkandas dengan kira-kira 10 buah kenderaan di Hotel B2, menurut Rizan Rizz. Ramai turut meluahkan simpati terhadap kos tinggi menunda kenderaan yang terperangkap, selain mendoakan urusan semua pihak dipermudahkan.

Sumber: KOSMO!

Azfar Zamri

Azfar Zamri merupakan antara tenaga kreatif meja editorial NAZZ&CO™ Media yang banyak menumpukan kepada pelaporan berita automotif harian. Beliau bertanggungjawab memastikan setiap informasi terkini, siaran media korporat, dan perkembangan landskap permotoran negara disampaikan dengan tepat kepada pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy