NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

20 Mangsa Banjir Terperangkap Diselamatkan Bomba di Hulu Langat

20 Mangsa Banjir Terperangkap Diselamatkan Bomba di Hulu Langat

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seramai 20 penduduk yang terperangkap akibat limpahan air banjir di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat, susulan hujan lebat yang melanda kawasan itu pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati air di kawasan kampung telah naik sehingga 0.3 meter. Semua 20 mangsa berjaya dipindahkan ke kawasan selamat dengan menggunakan sebuah lori. Ketika ini, paras air menunjukkan tanda-tanda menurun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Hulu Langat hari ini, iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding dan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai bagi menempatkan mangsa banjir di kawasan terjejas.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof memaklumkan bahawa dua laluan di kawasan Sungai Serai dan Nanding ditutup sementara setelah dinaiki air akibat hujan berterusan sejak awal pagi.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy