Gambar Hiasan
TAWAU – Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam dua kejadian merosakkan kereta milik jirannya di sebuah kawasan perumahan di Taman Bukit Tawau.
Suspek berjaya diberkas kurang 24 jam selepas kejadian terbaharu yang berlaku pada 25 November lalu, hasil tindakan susulan pihak polis terhadap laporan yang diterima.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.40 pagi oleh anggota dari Balai Polis Bombalai ketika berada di kawasan Perumahan Rakyat, Taman Bukit Tawau.

Menurut beliau, penahanan itu dibuat susulan dua laporan polis berkaitan kejadian khianat yang masing-masing dilaporkan pada 10 dan 25 November.
Kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 petang pada 10 November apabila mangsa dimaklumkan oleh seorang jiran bahawa keretanya yang diletakkan di kawasan parkir telah dirosakkan individu tidak dikenali.
Pemeriksaan selepas kejadian mendapati beberapa bahagian kenderaan mengalami kerosakan, termasuk cermin sisi.
Bagaimanapun, mangsa sekali lagi berdepan kejadian sama pada 25 November kira-kira jam 8.45 pagi.
Kali ini, isteri mangsa yang sedang menjemur pakaian terlihat seorang lelaki yang dikenalinya bertindak menendang cermin sisi kanan kereta berkenaan sehingga pecah.
Mangsa kemudian menegur perbuatan lelaki tersebut, namun teguran itu tidak diendahkan sebelum individu terbabit meninggalkan lokasi kejadian.
Susulan laporan yang diterima, polis menjalankan operasi di sekitar kawasan perumahan berkenaan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kedua-dua kejadian berkenaan. Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Rosdi menegaskan bahawa tindakan merosakkan harta benda milik orang lain merupakan satu kesalahan jenayah dan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap perbuatan sedemikian.
Sumber: tvSabah
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?