NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Penoreh Getah Maut Digilis Kereta Api, Mayat Ditemukan Di Bawah Gerabak

Penoreh Getah Maut Digilis Kereta Api, Mayat Ditemukan Di Bawah Gerabak

TENOM – Seorang lelaki warga emas yang bekerja sebagai penoreh getah maut selepas troli kayu dinaikinya dirempuh sebuah kereta api di Kilometer 137/3, kawasan landasan kereta api Tenom, pada Rabu. Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 63 tahun ditemukan berada di bawah bahagian kereta api selepas insiden pelanggaran berlaku.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemandu kereta api terbabit pada jam 2.17 petang. Menurutnya, pemandu berkenaan ketika itu sedang membawa gerabak kosong dari Pangi menuju ke Tenom sebelum melalui laluan kereta api yang merentasi sebuah terowong.

Sebaik sahaja keluar dari terowong, pemandu terbabit terlihat sebuah troli kayu yang dinaiki seorang lelaki berada di atas landasan menuju ke arah Tenom.

Kereta Api Membunyikan Hon

Keadaan itu menyebabkan pelanggaran berlaku sehingga mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian. Azmir berkata, pemandu kereta api sebenarnya sempat membunyikan hon dan menekan brek sebaik menyedari kehadiran troli berkenaan bagi mengelakkan pelanggaran. Bagaimanapun, jarak yang terlalu dekat serta keadaan laluan yang licin menyebabkan pemandu gagal memberhentikan kereta api tepat pada waktunya.

Akibat rempuhan itu, troli kayu berkenaan terseret kira-kira 15 meter sebelum kereta api akhirnya berhenti. Ketika membuat pemeriksaan, pemandu mendapati troli tersebut telah terperosok di bawah bahagian kereta api bersama mangsa yang tidak dapat dikeluarkan. Pemandu terbabit kemudian bertindak mencari kawasan yang mempunyai isyarat telefon di sebuah bukit berhampiran bagi menghubungi pihak polis dan memaklumkan kejadian tersebut.

Mayat mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dengan bantuan polis dan anggota bomba kira-kira jam 1.50 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Tenom untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy