PROTON mengesahkan model facelift bagi X70 MC3, X90 MC dan S70 MC bakal dilengkapi enjin 1.5 liter i-GT turbo empat silinder, sama seperti yang digunakan pada Proton X50 facelift.
Pengesahan itu didedahkan semasa Proton Tech Showcase yang berlangsung hari ini di Centre of Excellence Proton, Shah Alam. Fokus pendedahan kali ini tertumpu kepada barisan model X dan S yang akan datang, manakala model AMA akan dihuraikan dalam laporan berasingan.

Dilancarkan pada 2018, Proton X70 merupakan hasil kerjasama pertama Proton dan Geely. SUV itu melalui beberapa fasa naik taraf, termasuk pertukaran daripada enjin empat silinder kepada tiga silinder pada 2022 (MC1), diikuti versi MC2 pada 2024 yang menampilkan rekaan luaran baharu serta skrin infotainmen lebih besar. Namun, peningkatan tersebut dilihat belum cukup untuk melonjakkan jualan, dengan X70 kini tidak tersenarai dalam kelompok 20 model terlaris setakat tahun ini. Justeru, penggunaan kod MC3 mengisyaratkan satu lagi facelift, bukannya model generasi baharu.
Sementara itu, Proton X90 dan S70 pula sedang menanti facelift pertama masing-masing. Model Geely Haoyue atau Okavango versi terkini menampilkan rekaan lebih agresif, lengkap dengan lampu hadapan LED projektor serta lampu belakang jenis melintang penuh, selari dengan pendekatan rekaan X50 facelift. Cuma, sistem mild-hybrid 48 volt dijangka tidak lagi digunakan. Bagi S70 MC, model itu sudah beberapa kali dikesan menjalani ujian jalan raya.

Dalam perkembangan sama, Proton hampir pasti akan menamatkan penggunaan enjin tiga silinder pada ketiga-tiga model ini. Setelah stok enjin GEP3 TGDi sedia ada habis, Proton akan beralih sepenuhnya kepada enjin i-GT BHE15TD empat silinder yang kini dihasilkan secara besar-besaran di kilang Tanjong Malim. Enjin tersebut akan digandingkan dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan (7DCT) dan dijangka mula digunakan sekitar 2026.
Dengan peralihan ini, Proton secara rasmi akan mengucapkan selamat tinggal kepada enjin GEP3 serta Campro VVT.
Sumber: paultan.org
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?