Hasrat Pulang Bertukar Tragedi, Penuntut Kolej Maut Dirempuh Kereta

Hasrat Pulang Bertukar Tragedi, Penuntut Kolej Maut Dirempuh Kereta

KOTA TINGGI – Seorang pelajar sebuah kolej vokasional di Johor Bahru maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 67.4 Lebuhraya Senai–Desaru, malam Rabu.

Mangsa, Intan Darwiena Abdullah, 20, yang merupakan penuntut Kolej Vokasional ERT Azizah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.40 malam, membabitkan sebuah motosikal Honda Beat dan kereta Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun.

“Siasatan awal mendapati kereta yang datang dari arah Bandar Penawar menuju ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kesakitan di bahagian dada dan menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat.

Menurut Yusof, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

“Pesalah juga boleh dikenakan tindakan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh sehingga lima tahun,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD