Ringgit Terus ‘Mengganas’, Pekerja Indonesia Tersenyum Lebar Gaji Makin Bernilai

Ringgit Terus ‘Mengganas’, Pekerja Indonesia Tersenyum Lebar Gaji Makin Bernilai

PETALING JAYA – Pengukuhan nilai Ringgit Malaysia (MYR) kebelakangan ini nyata membawa kelegaan dan kegembiraan buat ribuan pekerja warga Indonesia yang mencari rezeki di negara ini.

Bagi mereka, paparan kadar tukaran di kedai kiriman wang kini bukan lagi sesuatu yang mencemaskan, sebaliknya menjadi detik yang ditunggu-tunggu setiap kali menghantar wang ke tanah air.

Tanpa perlu menambah jam kerja atau melakukan kerja lebih masa, jumlah gaji yang dikirim pulang ke kampung halaman kini meningkat dengan ketara berikutan nilai Ringgit yang semakin kukuh berbanding Rupiah Indonesia.

Fenomena ini turut tular di media sosial, khususnya di TikTok, apabila beberapa pekerja Indonesia berkongsi pengalaman masing-masing dan mendedahkan bagaimana nilai sebenar pendapatan mereka melonjak secara tidak langsung.

“Kalau kira-kira, gaji saya tahun ini macam naik hampir 14 peratus,” kata seorang pengguna.

“Sekarang RM1 dah lebih Rp4,000. Rasa besar nilainya bila ditukar,” tulis seorang lagi dalam ruangan komen.

Tinjauan reaksi netizen Indonesia mendapati ramai yang turut menumpang gembira melihat kejayaan anak perantau yang mampu membawa pulang pendapatan lebih tinggi untuk keluarga di kampung.

Namun, dalam keterujaan itu, ada juga suara yang meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan ekonomi negara sendiri, apabila membandingkan prestasi mata wang Indonesia yang dilihat masih bergelut untuk mencatat pengukuhan seperti Ringgit Malaysia ketika ini.

Sumber: VOCKET

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD