26 Motosikal Dirampas, Hampir 300 Notis Dikeluarkan Dalam Op Khas JPJ

26 Motosikal Dirampas, Hampir 300 Notis Dikeluarkan Dalam Op Khas JPJ

Kuala Lumpur – Sebanyak 26 motosikal dirampas manakala 296 notis saman dikeluarkan dalam Op Khas Motosikal sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang dijalankan di Plaza Tol Batu, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam memaklumkan operasi berkenaan berlangsung dari jam 6 petang hingga 10 malam. Ia diketuai oleh Ketua Seksyen Pentadbiran Penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur, Jasman Jamaluddin dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Menurut beliau, sebanyak 889 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut. Daripada jumlah itu, 101 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan, membabitkan pengeluaran 296 notis saman.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan serta penggunaan cermin gelap yang melanggar peraturan.

“Sebanyak 26 motosikal telah dirampas dalam operasi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidi turut menegaskan bahawa JPJ Kuala Lumpur komited dalam mempertingkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan, khususnya sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi itu membuktikan kesungguhan JPJ bersama agensi rakan strategik dalam memastikan jalan raya di Malaysia lebih selamat untuk semua pengguna.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD