SHAH ALAM – Brek bermasalah punca lori yang membawa muatan buah dan sayur itu terbabas dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman, di sini, kira-kira jam 1 petang semalam.
Insiden yang tular di media sosial itu menunjukkan keadaan muatan buah dan sayur yang dibawa lori berkenaan bertaburan di atas jalan, manakala kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Rigid-Refrigerated jenis Nissan yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bersama kelindan lelaki tempatan berusia 30-an dalam perjalanan dari Bidor, Perak ke Shah Alam.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah brek dan pemandu hilang kawalan lalu terbabas sehingga menyebabkan lori itu terbalik.
“Kemalangan menyebabkan pemandu tersepit dalam lori dan dikeluarkan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097 bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?