Tindakan pantas membrek kenderaan menyelamatkan nyawa Komander AKPS Bukit Kayu Hitam selepas kenderaannya ditembak dua das dalam satu serangan nekad awal pagi semalam.
Insiden cemas yang berlaku kira-kira jam 5.40 pagi itu menyaksikan Proton X70 yang dipandu Senior Asisten Komisioner, Mohd Nasaruddin M Nasir diserang suspek tidak dikenali.
Tembakan tersebut dilepaskan tepat ke arah tingkap pemandu yang terbuka ketika mangsa dalam perjalanan menghala ke Masjid Al Muhajirin di Bukit Kayu Hitam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mengesahkan mangsa terselamat daripada kecederaan maut selepas sempat mengambil tindakan refleks yang pantas.
“Tembakan pertama yang dilepaskan suspek terkena pintu belakang kanan Proton X70 dipandu mangsa manakala tembakan kedua melintasi muka mangsa yang ketika itu membuka tingkap kenderaan miliknya itu,” jelasnya dalam sidang media semalam.
Menurut beliau, tindakan Mohd Nasaruddin membrek secara mengejut selepas mendengar tembakan pertama telah menyebabkan peluru kedua tersasar daripada mengenai wajahnya.
Pasukan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K-9) telah dikerahkan ke lokasi bagi mengesan kelongsong peluru dan bukti tambahan di tempat kejadian.
Susulan kejadian itu, polis melancarkan Ops Tutup di sepanjang kawasan sempadan termasuk di Durian Burung bagi menyekat ruang gerak suspek yang dipercayai menggunakan senjata api separa automatik.
Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti dan motif sebenar serangan terhadap pegawai kanan tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kematian. Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, serangan ini dianggap sebagai ancaman serius terhadap agensi keselamatan yang menjaga sempadan negara.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?