JOHOR BAHRU – Kebakaran kilang memproses getah telah mengakibatkan untuk lima buah sekolah diarahkan untuk berhenti beroperasi buat seketika.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, memaklumkan sekolah terbaharu yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai, Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2 serta Sekolah Agama Taman Kota Kulai. Dengan penambahan itu, jumlah keseluruhan institusi pendidikan yang ditutup kini mencecah lima buah.
Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, Pejabat Pendidikan Daerah Kulai memutuskan semua murid di sekolah terlibat akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Jumaat ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, mengumumkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sengkang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kulai Besar turut diarahkan tutup, melibatkan seramai 1,531 murid.
Penutupan itu dibuat susulan keadaan asap tebal dan bau sisa pembakaran yang masih kuat di kawasan berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 4.37 petang Selasa. Kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan plastik separa kekal berukuran kira-kira 300 x 500 x 80 kaki.
Sehingga pagi tadi, operasi pemadaman yang disertai 34 anggota bomba dilaporkan hampir selesai dengan tahap kawalan mencapai 90 peratus. Operasi turut dibantu 11 anggota tambahan serta bekalan 20 tong buih pemadam berkapasiti 20 liter setiap satu daripada pihak industri. Selain itu, 30 tong buih tambahan dari negeri berhampiran turut digerakkan bagi mempercepatkan usaha memadamkan api sepenuhnya.
Empat unit jengkaut digunakan bagi kerja-kerja mengalihkan timbunan bahan terbakar untuk memastikan tiada sisa bara tersembunyi. Pada masa sama, Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menjalankan pemantauan imej termal bagi mengesan punca haba yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula.
Sumber: Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?