Dua Maut Dalam Nahas Bertembung Di Jasin

Dua Maut Dalam Nahas Bertembung Di Jasin

Perjalanan petang berakhir tragedi apabila dua individu maut dalam nahas bertembung selepas sebuah kereta dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan di Jalan Serkam–Bemban, Jasin petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu melibatkan Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 33 tahun dan Proton Wira yang dinaiki tiga beranak.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza memandu dari arah Bemban ke Serkam dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan itu kemudiannya merempuh sebuah Proton Wira dari arah Serkam menghala ke Bemban yang dipandu oleh lelaki berusia 44 tahun, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dalaman. Seorang penumpang Proton Wira, wanita berusia 74 tahun, pula menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 malam ketika dirawat di Zon Merah Hospital Jasin.

“Pihak polis menerima makluman daripada Hospital Jasin bahawa wanita berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” tambahnya lagi.

Dua lagi mangsa dalam Proton Wira, termasuk pemandu dan seorang penumpang lelaki, mengalami kecederaan di tangan dan dada dan kini dirawat di hospital.

Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Jasin, manakala polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kenderaan memasuki laluan bertentangan.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD