NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Formula 1 2026: Mercedes Manfaatkan Peraturan Baharu, Red Bull Tertekan

Formula 1 2026: Mercedes Manfaatkan Peraturan Baharu, Red Bull Tertekan

Musim baharu Formula 1 bakal membuka tirai di Melbourne pada 8 Mac dengan rombakan teknikal terbesar dalam beberapa tahun terakhir.

Perubahan pada casis dan unit kuasa bukan sekadar kosmetik tetapi ia berpotensi mengubah keseimbangan kuasa musim 2026 yang menampilkan 24 perlumbaan.

Ujian pramusim sudah selesai, tetapi seperti biasa, sukar membaca kekuatan sebenar setiap pasukan. Empat gergasi iaitu McLaren, Mercedes, Red Bull Racing dan Ferrari dijangka kekal sebagai pencabar utama kejuaraan dunia.

Russell Jadi Tumpuan, Mercedes Didakwa Ada Kelebihan

Juara bertahan Lando Norris pastinya mahu mempertahankan gelarannya daripada Max Verstappen, namun perhatian kini mula beralih kepada George Russell.

Mercedes dikatakan berjaya memanfaatkan satu ‘celah’ dalam peraturan baharu yang memberi kelebihan sekitar 0.3 saat setiap pusingan, jurang yang cukup signifikan dalam F1 moden. Russell mempertahankan jentera itu sambil menegaskan asas perlumbaan tidak berubah.

“Prinsipnya masih sama, pemandu perlu menolak kereta ke had maksimum, membrek selewat mungkin dan membawa kelajuan setinggi mungkin di selekoh,” kata Russell.

Red Bull Uji Enjin Baharu

Di kem Red Bull, Verstappen dilaporkan kurang selesa dengan karakter jentera baharu. Pada masa sama, pasukan itu berdepan cabaran besar menerusi enjin yang dibangunkan sendiri dengan kerjasama Ford Motor Company.

Walaupun ada persoalan tentang kebolehpercayaan, Red Bull memberi bayangan positif terhadap unit kuasa tersebut.

“Saya berpuas hati dengan apa yang saya lihat. Enjin ini berkuasa dan setakat ini boleh dipercayai. Perlumbaan pertama nanti akan beri gambaran sebenar,” ujar Red Bull.

Hamilton Belum Selesai

Ferrari pula mempertaruhkan gandingan Charles Leclerc dan Lewis Hamilton. Pada usia 41 tahun, Hamilton masih memburu gelaran dunia kelapan dan menegaskan beliau belum selesai.

“Saya sudah tetapkan semula sasaran. Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan musim ini akan sangat mencabar,” kata Hamilton.

Dengan perubahan teknikal yang radikal dan persaingan empat pasukan elit, musim 2026 berpotensi menjadi antara musim paling sukar diramal dalam era moden Formula 1. Segalanya bakal terjawab di Albert Park.

Sumber: Free Malaysia Today

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD