Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) secara rasmi memperkenalkan Mitsubishi Triton Single Cab versi transmisi automatik (AT) baharu ke pasaran tempatan.
Model pikap ini dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan pengguna komersial termasuk pemilik perniagaan, usahawan, petani, kontraktor serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan kenderaan lasak untuk kegunaan harian.
Salah satu perubahan utama yang dibawa pada Triton Single Cab baharu ini ialah penggunaan transmisi automatik, sekali gus menawarkan pengalaman pemanduan lebih mudah terutama kepada mereka yang sering menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya.

Menurut Mitsubishi Motors Malaysia, pengguna kenderaan komersial kini semakin mementingkan keselesaan dan kemudahan pemanduan, terutamanya ketika berdepan perjalanan jauh, trafik sesak serta tugasan penghantaran yang kerap.
Atas sebab itu, Triton Single Cab AT direka untuk membantu mengurangkan keletihan pemandu tanpa mengorbankan keupayaan membawa muatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki berkata, setiap perjalanan memainkan peranan penting kepada golongan yang menggunakan kenderaan untuk tujuan perniagaan.
“Bagi PKS, operator penyelenggaraan dan sektor pertanian, setiap perjalanan adalah penting. Triton Single Cab AT baharu membantu mengurangkan keletihan pemandu sambil mengekalkan keupayaan membawa muatan yang diperlukan oleh perniagaan setiap hari,” katanya.

Dari segi prestasi, Mitsubishi Triton Single Cab AT baharu menggunakan enjin 2.4 liter turbo diesel yang menghasilkan 184PS dan 430Nm tork.
Kuasa tersebut membolehkan pikap ini digunakan untuk pelbagai jenis tugasan berat, sama ada membawa hasil pertanian, bahan binaan, peralatan kerja atau barangan untuk tujuan penghantaran.
Mitsubishi turut mendakwa model ini menawarkan keupayaan muatan sehingga 1,145kg, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama kepada pengguna yang memerlukan kenderaan kerja dengan kapasiti membawa barangan yang besar.
Selain itu, ruang kargo Triton Single Cab AT mempunyai dimensi 2,340mm panjang, 1,580mm lebar dan 515mm tinggi, memberikan ruang yang luas untuk pelbagai jenis barangan dan peralatan.

Berikut merupakan beberapa ciri utama yang ditawarkan:
Ciri seperti Rear Differential Lock juga memberikan kelebihan kepada pengguna yang perlu membawa kenderaan ke kawasan kerja dengan permukaan tidak rata atau licin.
Dalam masa sama, kehadiran tayar All-Terrain serta bedliner standard menjadikan Triton Single Cab AT lebih bersedia untuk menghadapi penggunaan komersial yang lebih lasak setiap hari. Mitsubishi turut melengkapkan model ini dengan sensor undur bagi memudahkan proses mengundur dan meletakkan kenderaan, terutama ketika melakukan penghantaran di kawasan yang sempit.

Mitsubishi Triton Single Cab AT baharu hanya ditawarkan dalam pilihan warna Solid White.
Harga jualannya ditetapkan pada RM107,980 atas jalan tanpa insurans untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia.
Bagi tempoh terhad, pelanggan yang membeli dan mendaftarkan Triton Single Cab AT turut layak menerima Diesel Support bernilai RM4,000.
Model ini juga didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 200,000km, bergantung kepada mana yang tiba dahulu.
Pengenalan transmisi automatik pada Triton Single Cab jelas menjadikannya pilihan yang lebih menarik kepada pengguna komersial yang sebelum ini mungkin mahukan kemudahan pemanduan automatik tetapi masih memerlukan sebuah pikap dengan keupayaan membawa muatan besar.
Orang ramai boleh melihat Mitsubishi Triton Single Cab AT baharu secara dekat di Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition atau MAHA 2026.
Pameran tersebut berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang.
Pemilihan MAHA sebagai lokasi kemunculan pertama model ini juga dilihat bersesuaian dengan sasaran utama Triton Single Cab AT, khususnya golongan petani, pemilik perniagaan dan pengguna yang memerlukan sebuah kenderaan komersial untuk tugasan harian.
Dengan kombinasi enjin diesel berkuasa 184PS dan 430Nm, kapasiti muatan sehingga 1,145kg serta kemudahan transmisi automatik, Mitsubishi Triton Single Cab AT baharu menawarkan satu lagi pilihan kepada mereka yang mahukan pikap kerja lasak tetapi lebih mudah dipandu setiap hari. Model ini membuat kemunculan kepada orang ramai di MAHA 2026 yang berlangsung di MAEPS Serdang.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?