Proton e.MAS, terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan apabila mengekalkan status sebagai jenama EV nombor satu Malaysia bagi Februari 2026.
Menurut PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON yang mengendalikan jenama ini, sebanyak 1,928 unit telah direkodkan pada Februari sahaja, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ke tarikh (YTD) mencecah 5,219 unit termasuk jualan eksport.
Daripada angka tersebut, model Proton e.MAS 5 menjadi penyumbang utama dengan 1,562 unit terjual dalam tempoh sebulan, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai model EV paling laris di Malaysia bagi bulan tersebut. Lebih menarik, model ini turut berada di kedudukan kelima keseluruhan jualan kenderaan di Malaysia, bersaing secara langsung dengan model enjin pembakaran dalaman (ICE) yang telah lama mendominasi pasaran.
Sejak dilancarkan, e.MAS 5 telah melepasi angka 5,000 penghantaran dalam masa hanya dua bulan — satu pencapaian yang jarang dicapai dalam segmen EV tempatan. Ia sekali gus menunjukkan penerimaan pantas rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik sebagai pilihan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata pencapaian ini membuktikan strategi syarikat untuk menawarkan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal dan berbaloi untuk pasaran tempatan berada di landasan tepat.
Menurut beliau, fokus terhadap pembangunan ekosistem EV yang lengkap — merangkumi inovasi produk, kemudahan pengecasan, sokongan selepas jualan serta integrasi digital — menjadi faktor utama yang membezakan jenama e.MAS dalam pasaran.
e.MAS 5 diposisikan sebagai EV mampu milik dan praktikal untuk kegunaan harian, sesuai dijadikan kenderaan kedua bagi isi rumah. Dengan kos operasi yang lebih rendah berbanding kenderaan petrol tradisional, model ini menawarkan alternatif yang lebih ekonomik tanpa mengorbankan keselesaan.
Kekuatan jenama ini bukan sekadar pada produknya, malah pada keseluruhan pengalaman pemilikan yang menyeluruh — daripada rangkaian pengedar yang semakin berkembang hingga sokongan servis selepas jualan.
Dalam perkembangan berkaitan, model plug-in hibrid terbaru, Proton e.MAS 7 PHEV, turut mencatat lebih 3,500 tempahan dalam tempoh satu setengah bulan sejak diperkenalkan.
Model ini menawarkan sistem hibrid pintar EM-i serta ciri keselamatan moden dalam julat harga kompetitif. Ia dilihat sebagai pilihan peralihan yang praktikal bagi pengguna yang mahu beralih kepada elektrifikasi tanpa meninggalkan sepenuhnya enjin konvensional.
Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bermula dari:
RM105,800 (Prime)
RM119,800 (Premium)
RM125,800 (Premium Plus)
Termasuk rebat pelancaran RM4,000 untuk 5,000 pelanggan terawal.
Dengan permulaan kukuh pada 2026, Proton e.MAS kini memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan momentum jualan serta memperluas lagi penerimaan EV di Malaysia. Strategi jangka panjangnya jelas — membina ekosistem elektrifikasi yang lengkap dan relevan untuk keluarga Malaysia.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?